suria

BN Percaya Mampu Rampas Kerusi Ba’Kelalan Dari PKR

LAWAS: Sentimen terkini menunjukkan Barisan Nasional (BN) di Sarawak mempunyai peluang yang lebih besar untuk menawan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ba’kelalan daripada orang kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sana, Baru Bian.

Selepas kaji selidik di peringkat akar umbi dibuat, komponen BN, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), percaya bahawa kerusi Dun yang disandang Baru, yang juga Pengerusi PKR Sarawak itu boleh dirampas semula.

Timbalan pengerusi  SPDP dan ketua parti Ba'kelalan Datuk Nelson Balang Rining berkata majoriti pengundi menyedari betapa sukarnya kehidupan mereka tanpa pembangunan yang hanya boleh dibawa oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan BN.

Balang adalah seorang daripada tiga yang disenarai pendek sebagai calon BN bagi kawasan itu pada pilihan raya negeri akan datang yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Pada Sabtu, SPDP cawangan Ba'kelalan mengadakan mesyuarat agung tahunannya di sini dan membincangkan langkah-langkah untuk memperincikan strategi kempen pilihan raya yang akan dilakukan oleh Balang.

"Sentimen di kalangan akar umbi dilihat memihak kepada SPDP-BN.

"Saya percaya jika saya dipilih sebagai calon BN untuk Ba'kelalan, saya boleh mengalahkan Baru.

"Saya telah mengalahkan dia sebelum ini pada pilihan raya kecil Ba'Kelalan tahun 2004 dan kemudian sekali lagi, mengalahkan beliau dalam pilihan raya negeri 2006 tetapi saya tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya negeri 2011," katanya kepada The Star selepas mesyuarat itu.

Dalam pilihan raya negeri 2011, SPDP menggantikan Balang dengan muka baru Willie Leow yang dikalahkan oleh Baru dengan kira-kira 1,000 undi.

Ba'Kelalan adalah kawasan pergunungan di Sarawak yang terletak berhampiran sempadan Kalimantan.

Artikel Lain