suria

Orang Muda Hidap Dyspnea Akibat Bebanan Kos Sara Hidup

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Puteri Umno, Haryaty Hamdzah mendedahkan generasi muda pada hari ini berdepan penyakit Dyspnea atau sesak nafas.

Beliau berkata, penyakit itu disebabkan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat selain kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.

"Orang muda kini berada dalam keadaan Dyspnea. Keadaan di mana populasi bertambah, lambakan tenaga kerja dalam pasaran, industri mengecut dan tidak berkembang.

"Malah jawatan dalam sektor awam tidak boleh dijangka dan dihimpit pula dengan bebanan hutang pelajaran. Lebih sedih bagi rakan Puteri Umno yang berjuang sendiri kerana ditinggalkan suami," katanya ketika membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu.

Justeru, beliau merayu kepada kerajaan supaya menangani segera penyakit tersebut sebelum ia menjadi lebih parah.

"Bantulah kami mengubati simptom Dyspnea ini. Usah biarkan kesal dalam keadaan ini. Pastikan ia pulih segera. Jika tidak penyakit kronik pula datang menimpa," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik kadar pengangguran di kalangan graduan pada 2014 adalah sebanyak 454,000 dengan 57 peratus daripadanya merupakan golongan wanita.

"Sudahlah payah mendapat kerja, tenaga kerja asing pula berlambak-lambak. Sepatutnya tenaga kerja kita dieksport keluar tapi yang berlaku sebaliknya.

"Oleh itu, Haryaty mencadangkan agar kerajaan mewujudkan pangkalan data bagi mengenal pasti kelayakan dan peluang pekerjaan khusus bagi graduan yang menganggur.

"Tumpuan anak muda mencari pekerjaan kini secara atas talian kerana ia lebih menjimatkan. Mereka memilih untuk mendaftar di internet menerusi ejen mencari pekerjaan swasta yang lebih efisyen," katanya.

"Pada masa sama, beliau turut mengesyorkan agar Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) ditransformasikan demi memperkasa institusi pekerjaan.

"Seharusnya JTK dan HRDF memainkan peranan seperti agensi mencari pekerjaan swasta," katanya.

Umno, Puteri Umno, Dyspnea

Artikel Berikut

Artikel Lain