suria

Kenyataan Terbuka Muhyiddin Hanya Burukkan Keadaan - Rahman Dahlan

PETALING JAYA: Kenyataan terbuka Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya memburukkan keadaan, kata ahli Majis Tertinggi (MT) parti, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, beliau kesal kerana Muhyiddin gagal menghayati apa yang dituntut oleh para perwakilan sepanjang perjalanan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 yang sedang berlangsung.

"Tidak dapat dinafikan bahawa perwakilan mahukan persengketaan antara kedua pemimpin atasan dihentikan dan jika ada apa-apa yang perlu dibincangkan, ia seharusnya menggunakan landasan yang betul.

"Membuat kenyataan-kenyataan terbuka seperti dalam laman media sosial Facebook hanya memburukkan suasana," kata Abdul Rahman dalam kenyatannya di Facebook pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyddin di Facebook pada Jumaat yang meluahkan rasa kecewanya kerana mendakwa disisihkan dalam Umno walaupun sudah melaksanakan tanggungjawabnya untuk membantu presiden seperti yang terkandung dalam Perlembagaan parti.

Abdul Rahman berpendapat bahawa cara menangani yang lebih berhemah perlu dilakukan apabila tuduhan itu melibatkan orang nombor satu dalam negara.

"Bayangkan jika tuduhan itu terbukti tidak berasas, sudah tentu kerosakan kepada integriti presiden dan parti tidak mungkin dapat diperbaiki. Sebab itulah ianya perlu ditangani melalui landasan yang betul bukannya melalui 'road show' atau media sosial," katanya.

Menurut Abdul Rahman, Muhyiddin terlepas peluang untuk memperbaiki hubungannya bersama presiden parti.

"Peluang itu ditawarkan oleh presiden sewaktu ucapan dasar di mana presiden mengajak mana-mana pihak untuk berbincang dalam landasan yang betul. 

"Peluang untuk menjernihkan hubungan antara kedua-dua pemimpin ini dimusnahkan oleh Muhyiddin melalui laman sosial Facebook," katanya.

Menerusi laman Facebook, Muhyiddin mengulas mengenai peringatan Najib menerusi ucapan dasar presiden berhubung peranan yang perlu dimainkan oleh barisan kepimpinan parti dan ahli parti kepada pemimpin.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyatakan ciri-ciri pemimpin yang perlu ditaati mengikut ajaran Islam.

"Dalam Islam kita dituntut supaya patuh dan taat kepada pemimpin. Hal ini disebut oleh presiden dalam ucapan dasarnya.

"Pemimpin yang wajib ditaati ialah pemimpin yang taat kepada titah perintah Allah, amanah, jujur, berintegriti dan bersih, serta menjauhi perkara-perkara mungkar,” jelas Muhyiddin.

Artikel Sebelum

Pemuda Umno Tegur Pemimpin Ego

Artikel Berikut

Artikel Lain