suria

BN Mampu Menang Jika Kos Sara Hidup Rakyat Dibela

KUALA LUMPUR: Kemelut dalam Umno dan masalah ekonomi negara adalah dua isu berbeza tetapi penyelesaian segera isu ekonomi akan menjamin kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Wakil Pergerakan Wanita Umno dari Perak Sharifah Norhashimah Syed Kamarudin berkata masalah kos sara hidup adalah isu paling besar dan ditanggung rakyat secara keseluruhan, justeru hanya tindakan berkesan untuk menangani masalah ekonomi yang akan dapat mengembalikan keyakinan rakyat untuk mengundi BN.

"Isu kos sara hidup adalah isu terbesar pada hari ini. Kami yakin jika ekonomi stabil dan dapat dikukuhkan, ia pasti dapat menambat hati rakyat.

"Walau apa jua cabaran dalam parti, jika Datuk Seri Najib Tun Razak dapat pastikan ekonomi negara kita dapat dibela, kita akan berjaya dalam PRU akan datang," katanya ketika membahaskan usul ekonomi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Dalam membuat gesaan tersebut, Sharifah Norhashimah mencadangkan agar presiden dan barisan kepimipinan dalam Umno mencontohi sayap Wanita Umno.

Katanya, walaupun parti dilanda beberapa isu, Wanita Umno di bawah kepimpinan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terus fokus untuk menggerakkan jenteranya sebagai persediaan menjelang PRU-14.

"Kami Wanita Umno ingin menuju ke hadapan menghadapi PRU-14.

"Ikutilah contoh kami Wanita, di bawah kepimpinan Datuk Seri Shahrizat, kami bersatu dan mudah membuat kerja," katanya.

Dalam perbahasannya, beliau turut mencadangkan beberapa perkara bagi memperkasakan golongan wanita dari segi ekonomi termasuklah penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Wanita Negara.

Katanya golongan wanita memainkan peranan penting dalam ekonomi negara dan dianggap sebagai enjin pertumbuhan utama dalam pembangunan.

"Apabila wanita berjaya, kita semua akan berjaya," katanya.

BN, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain