suria

320,000 Rakyat Malaysia Ikrar Derma Organ Sehingga November Lepas

Lam Thye (kiri) merasmikan Roadshow Pendermaan Organ Siri 4/2015 di Klinik Kesihatan Alor Gajah pada Jumaat.

ALOR GAJAH: Sebanyak 320,062 rakyat Malaysia berikrar sebagai penderma organ atau pada tahap satu peratus daripada 30 juta penduduk negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata jumlah penderma organ itu berdasarkan data Pusat SumberTransplan Nasional sejak tahun 1997 hingga November lepas.

Berdasarkan Global Obsevatory on Donation and Transplanation World Health Organization 2011, kadar derma organ dan tisu di negara ini adalah 0.6 peratus pendermaan persejuta penduduk iaitu antara yang paling rendah di dunia.

"Kadar pendermaan organ di negara ini adalah amat rendah jika dibandingkan dengan keperluan. Sebagai contoh di Singapura sekitar lima persejuta penduduk, Australia (11.3 persejuta), United Kingdom (15.07 persejuta), Amerika Syarikat (25.49 persejuta) dan Sepanyol (34.35 persejuta).

"Seramai 19,518 pesakit buah pinggang, jantung, hati dan paru-paru sedang menunggu pemindahan organ untuk meneruskan hidup," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Roadshow Pendermaan Organ Siri 4/2015 di Klinik Kesihatan Alor Gajah di sini, Jumaat.

Turut hadir Ketua Pengurus Perolehan Transplan Kebangsaan Datin Dr Fadhilah Zowiyah Lela Yasmin Mansor.    

Sementara itu, Lee berkata seramai 28 penderma organ berdaftar berjaya merealisasikan hasrat masing-masing untuk melakukan pendermaan organ atau tisu masing-masing selepas meninggal dunia antara Januari hingga November tahun ini.

"Secara keseluruhan 300 pendaftar organ meninggal pada tahun ini tetapi pemindahan organ dan tisu hanya berjaya dilakukan terhadap 28 daripada mereka disebabkan halangan daripada keluarga yang tidak dimaklumkan mengenai hasrat berkenaan, pendaftaran pengikrar gagal dikesan hospital serta pengikrar menghidap penyakit berjangkit seperti virus HIV," katanya.

Beliau berkata 40 penderma organ pula yang turut bukan merupakan pendaftar penderma organ yang sah tetapi pemindahan berkenaan berjaya dilakukan sepanjang tempoh sama tahun ini atas kebenaran keluarga selepas kematian mereka.

Dalam perkembangan lain, katanya program jerayawara pendermaan organ akan terus diadakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pendermaan organ terbabit dalam membantu mereka yang memerlukan.

Katanya 6,478 penderma organ mendaftar sebagai pengikrar baharu sejak Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 5,103 orang sepanjang tahun lepas. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain