suria

Keahlian Lapan Ketua Umno Cawangan Teluk Kemang Digantung

Tujuh daripada sembilan Ketua Umno Cawangan Teluk Kemang yang dihadapkan ke Lembaga Disiplin Umno pada 2 Disember lalu.

KUALA LUMPUR: Lapan daripada sembilan Ketua Umno Cawangan Teluk Kemang digantung keahlian susulan tindakan menggesa Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai presiden parti.

Perkara itu diumumkan jurucakap Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia, Datuk Mohamad Zin Mustapa pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat.

Mohamad Zin merupakan Ketua Cawangan Taman Dato Haji Abdul Samad Bahagian Teluk Kemang, Negeri Sembilan.

Beliau berkata penggantungan itu berkuatkuasa pada 2 Disember lalu.

"Surat bertarikh 3 Disember lalu memaklumkan bahawa kami kehilangan hak memilih, dipilih dan sebagai seorang ahli Umno selama enam tahun.

"Kami tak diberi apa-apa alasan, kami hanya diberi jawapan bahawa kami digantung mengikut fasal yang termaktub dalam perlembagaan Umno," katanya.

Mohamad Zin berkata, beliau dan juga tujuh lagi ketua cawangan Umno yang digantung keahliannya itu turut mempertikaikan keputusan mengenai penggantungan tersebut.

"Yang anehnya keputusan dibuat pada hari kami menghadap lembaga disiplin iaitu 2 Disember lalu. Surat diterima pada 3 Disember tetapi ditandatangani pada 2 Disember. Bagi kami, ia sesuatu yang aneh," kata Mohamad Zin.

Menurut beliau, mereka diberi jaminan oleh lembaga disiplin parti bahawa keputusan mengenai nasib mereka hanya akan diketahui selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015.

Jelasnya lagi, penggantungan tersebut adalah satu usaha untuk menafikan kebenaran mereka.

"Ini jelas menunjukkan bahawa demokrasi telah mati dalam Umno. Tindakan ini diambil bagi menutup mulut kami daripada menyuarakan perkara yang benar berkaitan Umno, " katanya.

Ketika ditanya sama ada mereka akan mengemukakan rayuan mengenai keputusan itu, Mohamad Zain berkata, ia hanya akan diputuskan selepas perbincangan bersama di kalangan pemimpin gabungan ini.

"Kami akan berbincang, sekiranya wajar untuk kami merayu, kami akan merayu, jika tidak kami tidak akan merayu. Kami cuma digantung tetapi keahlian kami tetap ada. Kami akan tetap bersuara, " katanya.


Kamarul Azman Habibur Rahman merupakan salah seorang daripada sembilan pemimpin akar umbi yang masih belum menerima surat penggantungan.

Beliau adalah Ketua Cawangan Taman TKK.

"Hanya saya seorang yang masih belum menerima surat itu. Mungkin ada yang lebih besar menunggu saya," katanya.


Artikel Berikut

Artikel Lain