suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Gagal isytihar harta RM14 juta, pelbagai mata wang asing dan lima kilo jongkong emas... Ismail Sabri mengaku tidak bersalah

Ismail Sabri ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis. -Foto FAIHAN GHANI/SMG

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis kerana gagal mengisytiharkan aset termasuk wang tunai berjumlah RM14.7 juta, jutaan ringgit dalam pelbagai mata wang asing serta jongkong emas.

Ismail Sabri, 66, yang juga Ahli Parlimen Bera, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, Ismail Sabri didakwa dengan sengaja memberikan pernyataan bertulis yang gagal mematuhi terma notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Notis berkenaan bertarikh 7 Januari 2025.

Notis berkenaan telah dihantar kepada beliau oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 10 Januari 2025, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta seperti yang dinyatakan dalam Lampiran A.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun; dan didenda tidak melebihi RM 100,000.

Antara aset yang didakwa tidak diisytiharkan ialah RM14,772,150, SG$6,132,350, US$1,461,400, CHF3 juta, €12,164,150, ¥363 juta, UK£50,250, NZ$44,600, AED34.75 juta dan AU$352,850.

Ismail Sabri didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 7 Februari 2025.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin selain memohon pasport Ismail Sabri diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad membantah jumlah berkenaan dan berkata kedua-dua pihak sebelum ini bersetuju dengan jumlah jaminan RM100,000.

Beliau turut membantah permohonan supaya pasport anak guamnya disita dengan alasan tiada bukti menunjukkan Ismail Sabri berisiko melarikan diri.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Suzana menetapkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin, yang mestilah ahli keluarga.

Mahkamah turut menolak permohonan pendakwaan supaya pasport Ismail Sabri diserahkan kerana tiada bukti menunjukkan beliau berisiko melarikan diri.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 September ini.-The Star

Artikel Lain