SERAMAI 11 orang rakyat Malaysia dilaporkan gagal dihubungi susulan kejadian banjir besar di daerah Rasuwa, Nepal.Menurut Kementerian Luar, Kedutaan Malaysia di Kathmandu menerima laporan daripada agensi pelancongan bahawa pihak mereka terputus hubungan dengan 11 orang rakyat Malaysia yang dipercayai berada di kawasan berkenaan. Keadaan itu dipercayai berpunca daripada gangguan teruk bekalan elektrik dan rangkaian komunikasi akibat banjir besar, susulan Sungai Bhote Koshi melimpah pada awal pagi Rabu (26 Ogos).“Kedutaan sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan dan pasukan mencari dan menyelamat yang kini dikerahkan kerajaan Nepal bagi mengesan rakyat Malaysia yang terjejas serta memastikan keselamatan mereka,” menurut kenyataan Kementerian Luar.Kementerian berkenaan pada masa sama menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau sedang melakukan perjalanan di Nepal, khususnya mereka yang berada berhampiran kawasan terjejas, supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan.Selain itu, rakyat Malaysia di Nepal digesa mendaftar serta mengemas kini maklumat hubungan menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan pihak kedutaan menghubungi mereka dengan segera sekiranya berlaku kecemasan.Sementara itu, CNN melaporkan antara warga asing yang dilaporkan hilang terdiri daripada rakyat India, Australia, Belanda, Afrika Selatan, United Kingdom dan Malaysia.Situasi di kawasan terjejas turut menyukarkan operasi menyelamat apabila helikopter penyelamat belum dapat mendarat di Syapru Besi dan Timure, di utara Nepal.Jurucakap Tentera Nepal, Raja Ram Basnet, berkata operasi menggunakan helikopter hanya boleh dilakukan selepas paras air kembali surut.Dalam pada itu, Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, berkata pasukan polis dan tentera turut dikerahkan untuk membantu pasukan penyelamat.