suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Ustaz Lah tak mengaku salah 34 pertuduhan pecah amanah lebih RM13 juta

Abdullah merupakan pengerusi Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia ketika kesalahan tersebut didakwa dilakukan.

SEORANG pempengaruh agama berusia 40 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban terhadap 34 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) melibatkan wang milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah lebih RM13.8 juta.

Abdullah Abdol Razak atau Ustaz Lah turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Kunasundary Marimuthu terhadap 17 lagi pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM1.55 juta.

Tertuduh yang juga seorang pendakwah bebas itu merupakan pengerusi Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia ketika kesalahan tersebut didakwa dilakukan.

Dia didakwa melakukan kesalahan CBT di sebuah bank di Seremban 2 antara Februari 2023 hingga Mac 2026.

Kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) itu pula didakwa dilakukan antara Mei 2024 hingga Februari 2026 di lokasi sama.

Bagi pertuduhan CBT, Abdullah didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLA.

Pesalah boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana jumlah yang lebih tinggi.

Noor Sahira Abdullah also pleaded not guilty to abetting Abdullah.

Noor Sahira turut mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Setiausaha NGO berkenaan, Noor Sahira Abdullah, 30, pula didakwa secara berasingan kerana bersubahat dengan Abdullah bagi kesalahan CBT tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 409 undang-undang sama.

Noor Sahira turut mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib kemudian memaklumkan mahkamah bahawa kesalahan dilakukan Abdullah tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin, pihak pendakwaan menawarkan RM1 juta bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin.

Dia turut memohon mahkamah mengarahkan tertuduh supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam utama tertuduh, Azrul Zulkifli Stork, memohon jumlah ikat jamin lebih rendah dengan alasan akaun bank anak guamnya telah dibekukan.

Katanya, Abdullah yang sudah berkahwin, mengusahakan sebuah restoran dan merupakan seorang pempengaruh perlu menyara 11 anak serta ibunya.

Ustaz Lah juga merupakan seorang pempengaruh.

“Tertuduh sentiasa memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang siasatan dijalankan.

“Saya memohon ikat jamin sebanyak RM700,000 dengan separuh daripadanya dalam bentuk ikat jamin tanpa cagaran,” katanya.

Hakim Kunasundary kemudian menetapkan ikat jamin RM700,000 dengan RM300,000 daripadanya tanpa cagaran serta dua penjamin.

Dia turut membenarkan permohonan lain pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil pula mencadangkan ikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin bagi Noor Sahira.

Stork sekali lagi memohon jumlah ikat jamin lebih rendah dengan alasan anak guamnya berpendapatan RM3,000 sebulan serta perlu menyara bayi berusia lima bulan dan ibu bapanya.

Hakim Kunasundary kemudian menetapkan ikat jamin RM200,000 dengan dua penjamin.

Kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 September.

Sebelum ini media melaporkan SPRM Negeri Sembilan membekukan 15 akaun membabitkan tiga akaun bank persendirian, tiga akaun bank NGO dan sembilan akaun bank syarikat dengan nilai berjumlah RM16.5 juta.

Selain itu, turut disita ialah wang tunai berjumlah RM6,576, mata wang asing Riyal 95,568 dan Dolar Singapura (SGD) 795.

Antara barang lain yang disita ialah tiga unit jam tangan bernilai kira-kira RM5,000 serta tiga beg tangan berjumlah kira-kira RM3,000.

Turut disita lima gelang tangan berjumlah kira-kira RM26,000, sebentuk cincin bernilai kira-kira RM2,000, satu unit rantai bernilai kira-kira RM7,000 dan 51 keping emas seberat satu gram dengan nilai berjumlah kira-kira RM31,000. - The Star

Artikel Lain