Azmir (kiri) dan Zainal (kanan) menyampaikan anugerah kepada tiga graduan cemerlang sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-6 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia pada Selasa. -Foto LOW BOON TAT/SMG BOON
SERAMAI 359 graduan dirai sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-6 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada Selasa.Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, akademi berkenaan membuka peluang kepada golongan muda untuk membina kemahiran, keyakinan dan masa depan kerjaya yang lebih jelas. Menurutnya, peluang pertama yang diberikan kepada golongan muda mampu menjadi titik permulaan kepada kerjaya yang lebih besar.“Melalui Akademi Vokasional McDonald’s, kami mahu membantu mereka membina kemahiran, keyakinan dan kelayakan yang boleh membuka lebih banyak peluang untuk terus berkembang.“Apabila kira-kira 80 peratus graduan terus bersama McDonald’s dan lebih 250 daripada mereka berkembang ke jawatan penyeliaan serta pengurusan, ia menunjukkan bahawa peluang pertama boleh menjadi permulaan kepada kerjaya yang lebih besar,” katanya.Seramai 359 graduan dirai sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-6 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia. Azmir berkata, majoriti peserta akademi terdiri daripada lepasan sekolah vokasional dan sekolah menengah, selain sebahagian daripadanya merupakan pekerja sedia ada yang menyambung pengajian.Katanya, program yang menggabungkan pembelajaran dan pengalaman bekerja secara langsung itu membantu peserta membina disiplin, keyakinan serta kematangan.“Program ini sangat tersusun kerana mereka bekerja sambil belajar. Kehidupan mereka dibentuk dengan disiplin dan pengalaman sebenar di restoran.“Selepas 18 bulan, kita dapat lihat perubahan apabila mereka menjadi lebih matang, yakin dan bersedia untuk bekerja,” katanya kepada mStar.Pengisytiharan pembukaan majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Zainal Abas.Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi berkata, majlis konvokesyen bukan sekadar meraikan kejayaan pelajar, malah menjadi pengiktirafan kepada semua pihak yang membantu mereka mencapai kejayaan.McDonald’s memperuntukkan kira-kira RM40,000 bagi setiap pelajar sepanjang tempoh program. -Foto LOW BOON TAT/SMG Menurutnya, Akademi Vokasional McDonald’s menyasarkan golongan muda berpotensi yang mungkin tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam atau swasta.“Akademi ini menyediakan alternatif yang bermakna kepada mereka kerana kos pembelajaran ditanggung sepenuhnya, selain mereka turut mendapat pengalaman bekerja secara langsung.“Program ini memberi peluang kepada golongan muda untuk memperoleh kemahiran, pengalaman dan kelayakan yang boleh membantu mereka membina kerjaya,” katanya.Menambah pandangan Azhar itu, Azmir berkata, McDonald’s memperuntukkan kira-kira RM40,000 bagi setiap pelajar sepanjang tempoh program, termasuk kos uniform, tempat tinggal dan keperluan lain sehingga tamat pengajian.“Komitmen kita amat tinggi. Kira-kira 2,000 pelajar terlibat dan sekitar RM8 juta setahun dibelanjakan untuk program Akademi Dalam Industri McDonald’s,” katanya.Dalam pada itu, Kalsum Osman, 24 yang memulakan kerjaya sejak berusia 16 tahun sebelum menyertai Akademi Vokasional McDonald’s antara alumni yang meraih kecemerlangan menerusi program tersebut.Anak kelahiran Sabah itu berkata, keputusannya berhijrah ke Semenanjung bagi membina kerjaya bukan sesuatu yang mudah kerana terpaksa berjauhan daripada keluarga.Kalsum bekerja di McDonald’s sejak berusia 16 tahun kini bergelar Pengurus Besar Restoran. -Foto LOW BOON TAT/SMG Menurutnya, perjalanan bermula menerusi program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang kini dikenali sebagai Akademi Dalam Industri (ADI), sebelum melanjutkan pengajian daripada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sehingga Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).“Alhamdulillah, saya tidak pernah menyangka peluang yang diberikan membuka lebih banyak pintu kerjaya.“Selepas menamatkan SKM Tahap 3, saya diberi kepercayaan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi sehingga memperoleh Diploma Kemahiran Malaysia.“Saya bermula sebagai kru restoran dan hari ini, saya berkhidmat sebagai Pengurus Besar Restoran di McDonald’s Puchong Gateway,” katanya.Kalsum berkata, sijil yang diterima bukan sekadar sekeping kertas, sebaliknya menjadi simbol pengorbanan, usaha, disiplin serta sokongan keluarga, tenaga pengajar, majikan dan rakan-rakan.Katanya, pengalaman bermula sebagai pelatih sehingga diberi kepercayaan memimpin sebuah restoran membuktikan latar belakang seseorang bukan penentu sejauh mana mereka mampu pergi.“Di mana kita bermula bukanlah penentu sejauh mana kita boleh pergi. Yang penting ialah kesungguhan untuk terus belajar, keberanian menerima cabaran dan kerendahan hati untuk sentiasa memperbaiki diri.“Kejayaan bukan dihidangkan seperti menu segera, sebaliknya perlu dimasak dengan usaha, dibakar dengan kesabaran dan disajikan bersama doa,” katanya.Akademi Vokasional McDonald’s ditubuhkan pada 2018 dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi melaksanakan program latihan berasaskan industri yang ketika itu dikenali sebagai SLDN dan kini dikenali sebagai ADI.Program berkenaan menggabungkan 30 peratus pembelajaran di dalam kelas dan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s.Sepanjang tempoh 18 bulan, peserta berpeluang memperoleh kemahiran teknikal, pengalaman kerja sebenar serta kelayakan yang diiktiraf termasuk SKM Tahap 3, selain peluang meneruskan latihan ke peringkat DKM Tahap 4.Seramai hampir 5,500 graduan telah dilahirkan sejak 2018, dengan sekitar 80 peratus meneruskan kerjaya bersama McDonald’s Malaysia.