suria

Pelajar Tajaan YPM Ke Jepun Perlu Amalkan Dasar Pandang Ke Timur

Ismail Sabri dan Abdul Karim bergambar bersama kumpulan pelajar tajaan YPM yang akan melanjutkan pengajian ke Jepun.

KUALA LUMPUR: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta pelajar tajaan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) yang melanjutkan pengajian ke Jepun supaya terus mengamalkan Dasar Pandang Ke Timur.

Beliau berkata, melanjutkan pengajian di negara itu adalah peluang terbaik buat pelajar untuk menimba ilmu, pengalaman dan budaya di negara matahari terbit itu.

"Ia bukan sekadar mahu melihat kemajuan dan mencontohi kejayaan Jepun tetapi juga semangat mereka yang bangkit dari kekalahan, negara yang pernah ditewaskan oleh tentera bersekutu Amerika Syarikat (AS) semasa Perang Dunia Kedua dan mereka kini menjadi negara maju.

"Namun apa yang lebih penting ialah mencontohi disiplin rakyat Jepun yang mempunyai semangat juang tinggi dan rajin bekerja," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra bersama pelajar di bawah Program Pendidikan Tinggi Malaysia-Jepun (MHJEP) dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di sini, Jumaat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Datuk Abdul Karim Mustafa dan timbalannya, Ahmad Adnan.

Ismail Sabri berkata, beliau berharap semangat dan amalan positif rakyat Jepun itu dijadikan budaya kerja di negara ini.

Selain itu, katanya, program tersebut juga menyaksikan penguasaan bahasa asing di kalangan pelajar tempatan.

"Orang yang menguasai lebih daripada satu bahasa mempunyai peluang lebih baik dalam hidup mereka," katanya.

MHJEP di bawah YPM yang bermula sejak 2014 adalah program di mana pelajar akan dihantar ke Jepun untuk melanjutkan pengajian di 22 universiti di negara itu.

Terbaharu, YPM  bakal menghantar kumpulan berikutnya kira-kira 104 pelajar pada Mac tahun depan bagi mengikuti jurusan kejuruteraan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain