suria

"Jangan Ambil Kredit Kejayaan Umno" - Tun M

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam nada sinis berkata, beliau tidak pernah mengambil kesempatan terhadap kejayaan Umno dan negara untuk menaikkan namanya.

Menurut pemimpin veteran Umno itu, Malaysia berjaya menjadi sebuah negara maju disebabkan Umno dan bukannya kerana individu dalam parti tersebut.

"Saya setuju dengan ucapannya (Datuk Seri Najib Tun Razak) bahawa Umno yang telah berjaya memajukan negara ini sehingga ada doktor jadi pakar. Itu Umno, bukan pemimpin Umno... itu Umno.

"Umno berjaya tapi janganlah ambil kredit kejayaan Umno ini seolah-olah kejayaan kita sendiri. Saya pun tak pernah ambil kredit," katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Ucapan Dasar presiden pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Terdahulu, Dr Mahathir meninggalkan Dewan Merdeka kira-kira pukul 12.30 tengah hari sambil diringi laungan "Hidup Tun" dan nyanyian Inilah Barisan Kita oleh penyokongnya.

Sebaik keluar dari dewan tersebut, Dr Mahathir terus menjadi tumpuan media yang sedia menunggu di luar dewan sejak pukul 11.30 pagi lagi.

Beliau yang dikawal ketat pengawal dan dikerumuni penyokong terpaksa meminta semua penyokongnya untuk senyap dan bertenang seketika semasa pemberita cuba bertanya soalan kepadanya.

"Bising sangat macam mana saya nak cakap. Tolong senyap. Diam sikitlah, nak suruh saya jawab macam mana kalau bising," katanya.

Terdahulu Dr Mahathir hadir ke majlis perasmian PAU 2015 ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kira-kira pukul 8.25 pagi Khamis.


Dr Mahathir Mohamad, PAU 2015, Umno

Artikel Berikut

Artikel Lain