suria

'Bertumbuklah' Kata Perwakilan Kepada Tun M-Najib

KUALA LUMPUR: Selain Tan Sri Muhyddin Yassin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad antara nama yang paling disebut-sebut sepanjang hari pertama Perhimpunan Agung Umno 2015.

Paling mencuri tumpuan ialah apabila bekas presiden Umno berkenaan diminta ‘bertumbuk’ dengan Datuk Seri Najib Tun Razak demi melepaskan kemarahannya terhadap Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun saranan perwakilan Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir itu hanya gurauan yang bermaksud supaya kedua-dua mereka mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkan mengenai apa jua masalah yang timbul.

“Mai (mari) Tun duduk (berbincang), kalau ada masalah pi dalam bilik...bertumbuklah dua orang, jangan bagi berdarah sudah la.

“Saya minta kepada Tun, semua perdana menteri ada kesalahan masing-masing, kami merayu, sudah-sudahlah Tun, hentikan apa sahaja yang nak cakap.

“Duduk diam-diam. Kalau geram sangat tak payah bercakap sebab kami sayangkan Tun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2015 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Khamis.

Gelagat bersahaja dalam loghat utara pembahas berpengalaman itu berjaya membuat perwakilan tidak kering gusi mendengar teguran sinis berhubung masalah dalaman yang dihadapi Umno.

Katanya, ahli Umno akan terus mempertahankan Najib sebagaimana mereka mempertahankan Dr Mahathir ketika era pemerintahannya.

“Kami tak mahu aibkan Tun. Nyamuk ketit (gigit) Tun pun kami akan tampaq nyamuk sampai hancoq. Ini pulak kami nak kata (hina) Tun.

“Tapi Tun kena adil kat kami. Jangan kata presiden kami. Jangan buat macam ni. Tun dulu ada masalah juga,” katanya.

Isnin lalu, Dr Mahathir dan Muhyiddin berkongsi pentas dan secara terbuka menyatakan hasrat supaya Najib berehat daripada jawatannya sehingga siasatan berhubung dakwaan penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana politik berjumlah RM2.6 bilion.


Presiden Umno, PAU 2015

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain