suria

Pentas Perbahasan Umno Umpama Final Piala Malaysia

Gelagat Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badarulddin Amiruldin mengeluarkan kad kuning sewaktu wakil Umno Kelantan membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2015 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Khamis.

KUALA LUMPUR: Demam perlawanan akhir Piala Malaysia antara Selangor dan Kedah yang akan berlangsung Sabtu ini merebak ke pentas persidangan tahunan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Khamis.

Dua hari sebelum perlawanan akhir itu berlangsung, seorang ‘pemain’ Kelantan dilayangkan kad kuning sebanyak dua kali oleh ‘pengadil’ veteran di gelanggang yang bertempat di Dewan Merdeka, PWTC di sini.

Bagaimanapun aksi layangan kad kuning itu hanya ‘drama’ di Perhimpunan Agung Umno 2015 yang berlangsung bermula Khamis hingga Sabtu ini.

Ketika pembahas dari Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad leka menyampaikan ucapan perbahasannya, Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badruddin Amiruldin mencuri tumpuan apabila beliau meniup wisel sambil melayangkan kad kuning sebagai amaran pertama.

Beberapa minit kemudian, veteran Umno dari Kedah itu sekali lagi membunyikan wisel sambil mengangkat kad kuning kedua.

“Dua kad kuning dah ni, kena berhenti dah. Jangan tunggu kad merah, takut tahun depan tak boleh berucap dah,” katanya berseloroh dalam loghat utara.

Datuk Seri Najib Tun Razak juga ketawa melihat gelagat Pengerusi Tetap Umno.

Tindakan Badaruddin mengundang reaksi spontan Md Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas.

“Oh..wisel dah bunyi. Mentang-mentang Piala Malaysia Sabtu ni Kedah lawan Selangor. Terus saya kena kad kuning.

“Tapi hari ini kita semua pakai merah, merah tu Selangor. Saya sokong Selangor lah,” katanya sambil disambut ketawa perwakilan.

Penggunaan wisel dan kad kuning bagi memberi isyarat kepada pembahas supaya bersedia untuk menamatkan ucapan mereka pertama kali digunakan pada persidangan kali ini.

Sebelum ini secara tradisinya loceng digunakan bagi tujuan tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain