suria

Tunku Jalil Jalani Latihan Lasak Di Bawah Unit Tindakan Khas PDRM

Almarhum Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil satu-satunya kerabat diraja yang menyertai perkhidmatan polis, menjalani latihan lasak dan keras di bawah UTK PDRM.

KUALA LUMPUR: Almarhum Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, satu-satunya kerabat diraja yang menyertai perkhidmatan polis, menjalani latihan lasak dan keras di bawah Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau telah meyakinkan Tunku Abdul Jalil untuk menyertai pasukan keselamatan itu selepas baginda menunjukkan minat dalam bidang kepolisan.

Tunku Jalil, yang mangkat akibat kanser hati pada usia 25 tahun Sabtu lepas,dilaporkan mengikuti kursus Inspektor Percubaan selama sembilan bulan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) ketika berusia 21 tahun, dan menamatkan latihan pada 2012.

Baginda menyertai pasukan polis dan mengikuti latihan sebagai pegawai selama setahun dan seterusnya menjalani kursus latihan UTK di kolej teknikal di Muar.

Pada Oktober lepas, baginda dilantik sebagai Ketua Turus Pengelola Diraja Istana Johor.

Hishammuddin berkata anakanda keempat Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris itu, adalah seorang yang penyayang.

"Saya menziarahi baginda beberapa kali (sebelum baginda mangkat)," kata Hishammuddin ketika ditemui Bernama di luar Perhimpunan Agung Umno 2015, pada Khamis.

Kemangkatan Tunku Jalil pada usia yang masih muda, "memberi saya sesuatu yang boleh dipelajari. Hidup ini singkat dan hidup kita di tangan Allah".

Almarhum Tunku Jalil disahkan menghidap kanser hati pada akhir tahun lepas, dan pernah menjalani pemindahan hati di China sebelum ini.

Tunku Abdul Jalil mangkat pada 7.11 petang Sabtu lepas di Hospital Sultanah Aminah di Johor Baharu, dan dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah pada Ahad. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain