suria

"Tolong Bantu Orang Kampung" Pesan 'Makcik' Kepada Presiden Umno

KUALA LUMPUR: Perwakilan Umno Melaka pada Khamis menyampaikan pesanan seorang 'makcik' untuk presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memastikan parti terus mendapat sokongan rakyat.

Mustafa Musa berkata, beliau sempat menyinggah di sebuah kedai kopi sebelum bertolak ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015.

"Seorang makcik bertanya,"anak nak ke Perhimpunan Agung Umno ka. Saya kata ya. Dia cakap boleh tak sampaikan (pesanan) kepada presiden parti.

"Saya tanya sampaikan apa? Makcik jawab, "sampaikan kepada Datuk Seri, tolonglah bantu orang kampung. Tolonglah bantu anak-anak kampung," kata Mustafa ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Mustafa dari Umno Bahagian Alor Gajah berkata, 'makcik' tersebut turut berpesan supaya presiden parti menjaga  ketua-ketua cawangan, pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dan ketua kampung serta ketua-ketua bahagian.

"Ini kerana mereka inilah nanti akan menentukan kesinambungan Umno," kata Mustafa sebagaimana yang dipesan 'makcik' berkenaan.

Menurut Mustafa, pesanan 'makcik' itu secara jelas memperlihatkan sumbangan orang kampung terhadap Umno supaya menjadi parti yang kekal relevan.

Tambahnya, Umno perlu merasai naluri orang kampung dan membalas jasa penduduk luar bandar.

"Kalau tidak kerana orang kampung, pemimpin tidak dinobatkan di tempat ini. Kalau tidak kerana orang kampung, Umno tidak akan memerintah.

"Kalau kita letak sesiapa pun di kampung, 60 peratus pengundi Melayu. Kita letak (calon) bukan Melayu pun menang. Ini kerana orang kampung setia kepada parti," katanya sambil melaungkan 'orang kampung' berkali-kali sehingga disahut perwakilan.

Mustafa berkata, beliau yang mewakili ketua-ketua cawangan mencadangkan supaya Umno menyediakan peruntukan tahunan antara RM5,000 atau RM10,000 kepada peringkat cawangan untuk menggerakkan parti.


Melaka, Mustafa Musa, Umno, PAU 2015

Artikel Sebelum

Artikel Lain