suria

Waspada Kongsi Maklumat Di Media Sosial

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sempat bergambar bersama perwakilan Wanita ketika hadir mengikuti Persidangan Pergerakan Wanita Umno sempena Perhimpunan Agung Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Rabu. Turut kelihatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

KUALA LUMPUR: Wanita Umno diingatkan supaya sentiasa berwaspada dalam setiap perkongsian maklumat dan menyuarakan pandangan atau pendapat peribadi di media sosial.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, di alam siber, wanita merupakan kumpulan yang terdedah kepada pelbagai tindakan negatif yang boleh menjatuhkan maruah dan mencemarkan nama baik mereka.

"Kepesatan teknologi perkongsian maklumat dan keterujaan untuk menjalani gaya hidup digital telah mendorong kepada penyalahgunaan fakta yang boleh mewujudkan fitnah serta masalah sosial.

"Gara-gara mahu menjadi yang pertama berkongsi maklumat, segelintir pengguna alam siber mengabaikan kesahihan fakta yang disebarkan. Sikap ini mencetuskan krisis komunikasi," katanya.

Kata-kata nasihat itu dilaungkan semasa beliau menyampaikan ucapan dasar Ketua Wanita Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Shahrizat berkata, keseronokan berkomunikasi di Internet boleh menyebabkan mana-mana individu mudah terpedaya sehingga terperangkap dalam kancah jenayah.

"Sesungguhnya segala bentuk perlakuan jenayah di alam siber juga boleh dikenakan tindakan sepertimana perlakuan jenayah di alam nyata," tegas beliau.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan wanita supaya menggunakan Internet secara optimum bagi mendapatkan maklumat pembelajaran dan berkecimpung dalam bidang perniagaan secara dalam talian yang boleh menjana pendapatan. 

Artikel Sebelum

Artikel Lain