suria

Pengarah Syarikat Didakwa Terlibat Penggubahan Wang Haram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat pembekal ikan koi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas lapan pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan RM1.15 juta.

Luke Ram Shori, 53, pengarah syarikat Shori Aquatic Industry Sdn Bhd didakwa memindahkan wang RM1,151,950 yang merupakan hasil aktiviti haram, melalui lapan transaksi berasingan daripada akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik syarikat Best Koi ke akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik Shori Aquatic Industry Sdn Bhd, iaitu syarikat tertuduh.

Bapa kepada tiga orang anak itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di CIMB Islamic Bank Behad, Cawangan Sentul Raya antara 14 Nov 2013 dan 18 Jun 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman menawarkan jaminan RM150,000 bagi kesemua pertuduhan atas alasan kes itu membabitkan jumlah wang yang tinggi iaitu lebih RM1.1 juta selain memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Muhammad Nor Izzat Nordin yang mewakili tertuduh, memohon jaminan itu dikurangkan kerana anak guamnya memberi kerjasama sepanjang siasatan dilakukan dan tiada alasan dia akan melarikan diri.

Hakim Sohaini Alias membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 15 Feb depan untuk sebutan semula kes.

Mahkamah juga memerintahkan Luke menyerahkan pasport kepada mahkamah dengan memberi kebebasan untuk tertuduh memohon pasport sekiranya diperlukan.

Mahkamah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain