suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

DAP sudah tarik sokongan, tapi Pengerusi PH Melaka masih iktiraf Ketua Menteri Umno

Adly masih menyokong Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka.

PAKATAN Harapan (PH) Melaka masih belum membuat keputusan rasmi mengenai kedudukannya dalam kerajaan negeri selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP menarik sokongan terhadap pentadbiran negeri.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, beliau masih menyokong Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh buat masa ini.

Menurut bekas Ketua Menteri Melaka itu, keputusan berhubung kedudukan PH dalam kerajaan negeri akan dibincangkan dalam mesyuarat PH Melaka pada Khamis.

"PH Melaka akan bermesyuarat esok. Kita akan mengambil kira pandangan semua Adun dan parti komponen sebelum membuat keputusan rasmi.

"Memang benar empat Adun DAP mengumumkan tindakan mereka menarik sokongan, dan setiap parti dalam PH mempunyai hak membuat keputusan sendiri.

"Namun, apabila tindakan itu dibuat atas nama Pakatan Harapan, ia perlu dibincangkan dan diputuskan secara bersama," katanya yang juga Adun Bukit Katil pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak setuju isu Adun Lantikan, PH Melaka ‘angkat kaki’ keluar kerajaan negeri

Empat Adun DAP yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri ialah Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Low Chee Leong (Kota Laksamana), Leng Chau Yen (Banda Hilir) dan Kerk Chee Yee (Ayer Keroh).

Tindakan itu dibuat selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Enakmen Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2026 yang memperuntukkan pelantikan Adun Lantikan.

Adly berkata, keputusan PH sebelum ini adalah untuk membantah pindaan berkenaan atas alasan berkaitan demokrasi, beban kewangan tambahan serta cadangan pelantikan sehingga tujuh Adun.

Mengulas tindakan empat wakil DAP meletakkan jawatan dalam pentadbiran negeri, Adly berkata ia membabitkan jawatan seperti anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), timbalan Exco serta Timbalan Speaker DUN Melaka.

Adly bagaimanapun tidak memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran negeri yang memerlukan beliau mengambil tindakan sama.

Ditanya sama ada kehadirannya di blok kerajaan dalam sidang DUN menunjukkan sokongan kepada Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Adly menjawab perkara itu adalah benar buat masa ini.

"Ketika ini sebagai Adun, kita mengiktiraf hanya ada seorang Ketua Menteri dan buat masa ini kita terus menyokong Ketua Menteri.

"Bagaimanapun, keputusan mengenai pelantikan politik akan dibuat pada Khamis," katanya. -The Star

Artikel Lain