Anwar ketika berucap pada majlis pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRN Negeri Sembilan, Selasa malam. -Foto Bernama
SEMUA parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini diingatkan supaya tidak menjadikan institusi diraja negeri sebagai bahan kempen.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, institusi diraja tidak sepatutnya diheret ke dalam perbahasan awam atau dijadikan polemik politik demi meraih sokongan. "Jangan sesekali melanggar perkara ini kerana kita mempunyai undang-undang (untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang berbuat demikian)," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRN Negeri Sembilan pada Selasa malam.ARTIKEL BERKAITAN: Bakal bertanding di PRN Negeri Sembilan? Ini jawapan ringkas KJAnwar turut menegaskan bahawa institusi diraja merupakan antara tonggak utama perlembagaan negara yang perlu dihormati serta dipelihara martabatnya setiap masa.Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan Madani melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat meskipun sebahagiannya tidak termasuk dalam manifesto pilihan raya.Menurutnya, antara usaha yang dilaksanakan ialah pemberian bantuan tunai dan subsidi kos sara hidup sehingga berbilion ringgit, kenaikan gaji penjawat awam, bantuan mengurangkan beban hutang Felda serta sokongan kepada generasi kedua peneroka.Selain itu, kerajaan turut menyediakan peruntukan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menyalurkan peruntukan khas kepada sekolah-sekolah.Bagaimanapun, Anwar berkata, walaupun pelbagai pencapaian direkodkan oleh kerajaan Madani, pihak lawan tetap akan berusaha memburukkan imej kerajaan dengan pelbagai dakwaan.Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRN itu pada Sabtu (18 Julai), manakala mengundi awal pada 28 Julai dan hari pengundian 1 Ogos depan. -The Star