LOTUS'S Malaysia mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan terlibat dalam insiden membabitkan seorang wanita hamil 38 minggu yang dituduh mencuri di cawangannya di Selayang, Selangor, pada 11 Julai lalu.Syarikat peruncitan itu dalam kenyataan mengakui cara insiden itu dikendalikan tidak memenuhi standard layanan dan perkhidmatan yang sepatutnya diberikan kepada pelanggan. "Kepada pelanggan, isteri beliau serta keluarga mereka, kami ingin memohon maaf atas insiden yang berlaku. "Tiada pelanggan sepatutnya melalui pengalaman sedemikian ketika membeli-belah bersama kami," katanya pada Selasa.ARTIKEL BERKAITAN: “Akak simpan barang apa dalam perut?” - Suami berang juruwang tuduh isteri hamil 38 minggu mencuri, siap minta tunjuk buku pink!Lotus's Malaysia berkata, pihaknya turut memperkukuh garis panduan, prosedur serta latihan bagi memastikan semua pekerja mengamalkan standard perkhidmatan ditetapkan dan mengelakkan kejadian sama berulang.Syarikat itu bagaimanapun melahirkan rasa kesal terhadap laporan gangguan peribadi serta ugutan dalam talian yang didakwa ditujukan kepada pekerja terlibat dan ahli keluarga mereka sepanjang isu berkenaan mendapat perhatian ramai."Kami pohon semua pihak menghormati privasi, kesejahteraan dan harga diri setiap individu yang terlibat serta membenarkan perkara ini diteruskan dengan penuh persefahaman dan ihsan," katanya.Sementara itu, suami pelanggan terbabit, Fareez Shah memaklumkan dia membuat laporan polis pada Ahad sebagai langkah pertama untuk mendapatkan keadilan buat isterinya.Menerusi perkongsian di Threads, Fareez berkata tindakan yang berlaku terhadap isterinya yang sedang sarat mengandung bukan perkara kecil untuk dipandang remeh."Apa yang berlaku pada isteri saya bukan perkara kecil untuk saya tutup mata. Maruah seorang wanita yang sedang sarat mengandung dipijak dengan satu tuduhan yang langsung tiada bukti."Saya tak minta sesiapa membenci atau menghukum sesiapa. Saya cuma berharap perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi kepada mana-mana ibu mengandung, keluarga atau orang lain pada masa akan datang," katanya.Dalam kejadian pada Sabtu, insiden memalukan itu berlaku sejurus Fareez dan isterinya selesai membuat pembayaran barangan yang dibeli.Sebaik sahaja melangkah keluar dari kaunter pembayaran, mereka secara tiba-tiba ditahan oleh seorang kakitangan kerana dituduh menyembunyikan sesuatu di bahagian perut.Tuduhan dibuat tanpa bukti dan sekatan ke atas mereka dilakukan selepas menerima aduan daripada seorang juruwang.Apa yang lebih menyakitkan hati, Fareez mendakwa kakitangan terbabit sebaliknya bertindak luar jangkaan dengan meminta isterinya menunjukkan buku rekod kehamilan sebagai bukti.