suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Culas promosi punca artis nasyid baharu sukar bertahan“ - Hijjaz

Hijjaz sentiasa berikan yang terbaik buat peminatnya.

ANGGOTA kumpulan Hijjaz melihat ramai pendatang baharu dalam industri nasyid berdepan kesukaran untuk bertahan lama kerana kurang memberikan perhatian terhadap aspek promosi, selain kurang bimbingan yang sewajarnya.

Menurut Isman Isam, kebanyakan artis baharu hari ini tidak melalui proses membina hubungan dengan pengamal media serta stesen penyiaran seperti yang dilakukan generasi terdahulu.

Malah katanya, ada dalam kalangan mereka yang culas memenuhi jemputan program televisyen sehingga menyebabkan sukar membina nama dalam industri.

Dari kiri: Ariffin Rahim, Munif Ahmad, Faizal Osman dan Isman Isam masih kekal anggota Hijjaz sejak awal penubuhan.

"Artis sekarang tidak melalui proses ini. Mereka tidak mengenali wartawan mahupun penyampai radio, malah mahu ke stesen televisyen pun culas. Perkara sebegini yang menyebabkan adik-adik seolah-olah kehilangan arah.

"Ia satu kerugian yang besar kerana promosi di televisyen dan radio adalah platform wajib untuk memperkenalkan profil diri dalam industri hiburan.

"Dahulu, kami hanya mengikut jadual yang diaturkan. Sebut sahaja apa program atau persembahan, walaupun tiada bayaran, kami tetap pergi asalkan nama kami mendapat publisiti," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Hijjaz rai 30 tahun dalam konsert 30 lagu

ARTIKEL BERKAITAN: Hijjaz Tegaskan Tiada Kaitan Dengan Pengganas

Dalam pada itu, Faizal Osman berpendapat, ketiadaan bimbingan daripada pihak pengurusan dan unit Artist and Repertoire (A&R) yang berpengalaman turut menjadi faktor membezakan kualiti artis dahulu dan sekarang.

Katanya, artis baharu yang tidak mendapat pendedahan sejak awal akan berdepan kesukaran untuk membina kerjaya dalam industri.

"Artis-artis baharu yang tidak mendapat bimbingan daripada unit A&R yang berpengalaman ini akan berdepan kesukaran untuk dikenali.

Peminat akan membeli, menyimpan dan menjadikannya sebagai koleksi.

MUNIF AHMAD

ANGGOTA HIJJAZ

"Ini kerana proses itu sebenarnya merupakan panduan utama untuk menjadi artis yang sebenar," ujarnya.

Sementara itu, Munif Ahmad pula berpendapat perubahan landskap industri muzik yang kini lebih tertumpu kepada pelancaran single berbanding album turut memberi kesan terhadap pembentukan kelompok peminat setia.

Jelasnya, album fizikal suatu ketika dahulu bukan sahaja menjadi medium memperkenalkan artis, malah berjaya mewujudkan nilai sentimental dalam kalangan peminat.

Hijjaz sentiasa lihat perkembangan pendatang baharu nasyid.

"Bezanya, generasi kami dahulu menghasilkan album. Itulah perkara yang paling penting pada waktu itu. Bila ada album fizikal, peminat akan membeli, menyimpan dan menjadikannya sebagai koleksi. Disebabkan itu, peminat dahulu boleh dikategorikan sebagai peminat tegar.

"Berbeza dengan artis dan peminat sekarang, kebanyakan artis baharu tidak mempunyai album dan hanya melancarkan lagu single. Peminat mungkin meminati satu lagu minggu ini, kemudian tahun hadapan baharu ada lagu baharu lagi.

"Jadi, agak sukar untuk membina kelompok peminat tegar," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hijjaz turut mengeluarkan album baharu berjudul Akhir BersamaMu selain bakal mengadakan Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah di Istana Budaya pada 16 dan 17 Oktober nanti.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain