suria

Wanita Gesa Akta Guaman Syarie, Majlis Peguam Syarie Direalisasikan

KUALA LUMPUR: Wanita Umno menggesa kerajaan supaya menyegerakan kewujudan Akta Guaman Syarie bagi memantau dan mengawal selia tugas peguam syarie dari pelbagai aspek.

Ketua Wanitanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kewujudan akta tersebut amat penting kerana pada masa ini tiada badan khusus yang mengurustadbir kumpulan berkenaan.

"Sebagai seorang peguam, isu-isu perundangan Islam dan di mahkamah syariah sentiasa dekat di hati saya. Cerita dari rakan-rakan peguam syarie sering sampai ke telinga dan menarik perhatian saya.

"Banyak rungutannya sama ada dari peguam-peguam Syarie sendiri mahupun dari klien-klien mereka. Satu perkara yang amat jelas ketika ini adalah ketiadaan satu badan khusus yang mengurustadbir profesion tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Pergerakan Wanita Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Rabu.

Menurut Shahrizat, jika peguam di Mahkamah Sivil diurustadbir Majlis Peguam yang ditubuhkan dibawah Akta Profesion Undang-Undang 1976, peguam syarie pula hanya mempunyai kaedah atau peraturan yang berbeza di setiap negeri yang mengawal selia kumpulan ini.

"Seperti mana peguam di Mahkamah Sivil, fungsi peguam syarie tidak sekelumit pun kurang untuk membantu hakim menghukum dengan adil, tepat dan berkesan," katanya.

Malah, beliau turut berharap agar penubuhan Majlis Peguam Syarie dapat direalisasikan secepat mungkin sebagaimana gesaan yang kedengaran dari pelbagai pihak sejak kebelakangan ini.

"Sekiranya dua perkara itu dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, bukan sahaja kepentingan anak guam dapat dilindungi dan dibela, malah martabat dan kedudukan Peguam Syarie turut dapat dipertingkat," katanya.

Shahrizat berkata, menerusi penubuhan itu juga, kedudukan peguam syarie akan setaraf dengan peguam cara dan peguam bela di Mahkamah Sivil.

Wanita Umno, PWTC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain