suria

PAU 2015: Shamsudin 'To-Pup' Kembali Ke PWTC

Dalam masa dua jam Shamsudin berjaya menjual top-up sehingga RM500 kepada perwakilan dan pemerhati PAU 2015.

KUALA LUMPUR: Siapa sangka Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 mampu memberi rezeki yang tidak diduga bagi sesiapa sahaja yang "ringan tulang".

Menyifatkannya sebagai rezeki terpijak, Shamsudin Ibrahim, 47, seorang peniaga ‘top up’ sanggup datang ke ibu negara dengan menaiki bas ekspres semata-mata untuk mencari rezeki tambahan.

Menurut lelaki yang berasal dari Ayer Hitam, Pulau Pinang itu, dalam masa dua jam sahaja, beliau berjaya menjual kad ‘top up’ sehingga RM500.

“Walaupun keuntungan tidaklah begitu banyak, tapi saya anggap ia rezeki terpijak. Saya dapat keuntungan sebanyak RM0.40 bagi setiap kad yang berjaya dijual,” katanya ketika ditemui mStar Online di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Shamsudin berkata, beliau memilih untuk menawarkan perkhidmatan tersebut bagi memudahkan perwakilan dan orang ramai yang berada di sekitar PWTC membuat tambah nilai kad prabayar mereka.

“Saya faham perwakilan ada yang tak sempat keluar untuk beli ‘top up’, jadi saya datang dengan idea ini sejak tahun lalu. Kini tiada lagi masalah, mereka boleh tambah nilai kad prabayar dengan mudah,” katanya.

Tahun lalu, kata Shamsudin, beliau berjaya menjual kad ‘top up’ bernilai hampir RM2,000 dalam masa tiga hari sahaja.

Namun, pada kali ini, sambutan terhadap perkhidmatan tersebut akan meningkat sedikit memandangkan beliau akan berada di sini sehingga Jumaat ini.

“Saya akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat di sekitar PWTC untuk memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan saya. Hari ini anda lihat saya berdekatan gerai jualan di tingkat 3, esok anda akan lihat saya mungkin di lobi pula,” katanya.



Artikel Sebelum

Artikel Lain