suria

PAU 2015: Ucapan Muhyiddin Akan Diputuskan 9 Disember

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 akan ditentukan pada 9 Disember ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perkara tersebut akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Khas pada tarikh berkenaan.

"Tunggu Mesyuarat Majlis Tertinggi Khas pada malam 9 Disember ini," katanya pada sidang media sempena PAU 2015 di Menara Dato' Onn di sini, Khamis.

Bagaimanapun Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan secara peribadi berpendapat bahawa ucapan penggulungan yang dibuat oleh presiden parti sudah memadai.

"Bagi penggulungan, pada pandangan saya sehingga ke hari ini, presiden cukuplah. Tak perlu orang lain. Itu pandangan saya," katanya.

Secara tradisinya, sebelum presiden Umno menggulung perbahasan pada hari terakhir perhimpunan agung, barisan ketua-ketua sayap, naib presiden dan timbalan presiden akan dibenarkan berucap pada sesi penggulungan itu.

Pada Isnin lalu, Ku Nan berkata, tidak terdapat dalam perlembagaan parti bahawa timbalan presiden perlu membuat ucapan penggulungan seperti kelaziman sebelum ini.

"Tidak salah sekiranya tradisi dalam Umno yang tidak terdapat dalam Perlembagaan diubah, seperti juga perubahan pada mesyuarat perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri yang akan dirasmikan oleh ketua sayap masing-masing pada perhimpunan kali ini," katanya.


Artikel Lain