suria

Tukang Cuci Hilang RM1,500 Akibat Diragut

TASEK GELUGOR: Seorang tukang cuci yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah pasar raya di Bertam dekat sini kerugian lebih RM1,500 selepas diragut seorang lelaki di Jalan Ara Kuda di sini pada Selasa.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, mangsa berusia 43 tahun sedang membonceng motosikal bersama anaknya sebelum dihampiri sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki.

"Ketika kejadian mangsa dari Lunas, Kedah dan dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki dari arah belakangnya menarik beg sandang wanita itu dan terus memecut laju motosikal suspek," katanya di sini, Khamis.

Beliau berkata mangsa kerugian kira-kira RM1,500 selepas beg yang mengandungi seutas rantai emas, kad pengenalan dan kad bank milik wanita itu diragut lelaki berkenaan.

Katanya mangsa dan anaknya tidak nampak nombor pendaftaraan motosikal lelaki itu dan muka suspek kerana ketika itu kawasan berkenaan gelap.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 32 tahun yang sedang menunggang motosikal diragut ketika dalam perjalanan ke pasar di Jalan Sungai Lokan, di sini pada Selasa.

Jurucakap polis berkata sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki menghampiri lelaki itu sebelum meragut sebuah beg yang berada dalam bakul motosikal mangsa.

"Kejadian itu turut menyebabkan mangsa dan motosikalnya terjatuh bagaimanapun lelaki berkenaan tidak mengalami kecederaan, hanya motosikalnya rosak. Tiada duit atau barang dalam beg kitar semula yang dilarikan itu," katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Azmi Adam ketika dihubungi berkata kedua-dua kes itu disiasat menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Tukang Cuci

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

SPRM Temui PM Hari Ini

Artikel Lain