suria

MKN Teliti Waze, Google Maps Ancam Keselamatan Negara

KUALA LUMPUR: Kebimbangan ancaman keselamatan yang timbul menerusi penggunaan aplikasi Waze dan Google Maps akan diteliti kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, setakat ini kementerian belum menerima sebarang aduan atau maklumat yang boleh menggugat keselamatan negara melalui laman web atau dua aplikasi tersebut.

“Dalam isu sosial media, KKMM bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan, tetapi jika melibatkan keselamatan negara kita boleh bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Setakat ini, kita tidak dapat aduan atau isu berkaitan laman-laman web ini tapi jika ada permohonan daripada kementerian atau agensi untuk mendapat khidmat teknikal kita akan bantu,” katanya menjawab pertanyaan Datuk Raime Unggi (Tenom-BN) di persidangan Dewan Rakyat, Khamis.

Raime bertanya tentang tindakan dan usaha kerajaan bagi memastikan maklumat berkaitan Malaysia tidak bocor atau terdedah memandangkan rakyat Malaysia bergantung kepada aplikasi Waze dan Google Map pada masa kini.

Dalam isu dibangkitkan, Jailani berkata, kerajaan tidak menjalinkan kerjasama dengan Google atau mana-mana pembekal aplikasi tetapi masyarakat dan kerajaan mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan teknologi dan bidang ICT tidak disalahguna atau mengancam keselamatan negara.

“Persoalan yang berlegar adalah perkongsian data peribadi, tak ada sebarang perjanjian antara Google dan Malaysia.

“Kita tidak harus menganggap segala kewujudan ICT ini sebagai ‘taboo’ yang akan menyebabkan kita ketinggalan dari segi ICT,” katanya.

Jelasnya, isu sebenar adalah pengguna lebih gemar ‘oversharing’ data peribadi di Internet, yang boleh menyebabkan ia disalahguna, justeru adalah tidak wajar untuk menyalahkan kerajaan semata-mata.


Waze, Google Maps, MKN, Jailani Johari

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain