suria

Adik-Beradik Kevin Berbalah, Dakwa Mayat Sudah Dibakar

Anthony Kevin Morais

KUALA LUMPUR: Perbalahan dalam perebutan mayat Anthony Kevin Morais berhadapan situasi baharu apabila dua daripada saudaranya mendakwa mayat Timbalan Pendakwa Raya itu telah dibakar secara senyap.

Charles Suresh, 51, dan David Ramesh, 51, yang mahu bedah siasat kedua dijalankan ke atas mayat Kevin menyelar adik bongsu mereka, Datuk Richard kerana menuntut mayat saudara mereka di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur pada hari Isnin lalu.

Mengakui tidak pasti dengan apa yang telah berlaku kepada mayat Kevin, kedua-duanya berkata mereka yakin bahawa ia telah dibakar.

Richard, 49, seorang penjual piano, menuntut mayat Kevin pada hari yang sama Charles memfailkan permohonan di mahkamah untuk bedah siasat kedua.

Charles dan David membidas tindakan Richard.

"Saya sedang mengkaji tindakan undang-undang terhadap Richard. Dia telah melanggar kepercayaan keluarga," kata Charles, seorang ahli perniagaan.

Charles menandatangani surat akuan sumpah pada Rabu, mendakwa hubungan Richard dan Kevin sudah berjauhan selama kira-kira 15 tahun.

Katanya, dia berasa aneh apabila Richard berkelakuan seolah-olah dia sangat rapat dengan Kevin.

Selain itu dalam akuan bersumpahnya, Charles menuduh Richard bersubahat dengan orang yang tidak dikenali untuk membakar mayat mayat Kevin sebelum bedah siasat kedua dijalankan.

Dakwa Charles, beliau percaya ini dilakukan untuk memusnahkan bukti baharu.

"Saya amat yakin bahawa Richard telah didatangi oleh orang yang berkepentingan bagi menutup kes pembunuhan Kevin," katanya.

Sementara itu David berkata beliau percaya ada motif tersembunyi.

David berkata beliau telah dihubungi oleh seseorang beberapa hari sebelum mayat Kevin dituntut, sambil menambah bahawa individu berkenaan memintanya menyertai Richard bagi menuntut mayat Kevin.

"Saya menolak. Saya memberitahunya bahawa ini adalah isu keluarga Morais.

"Jika Richard mahu untuk menuntut mayat Kevin, keputusan itu perlu dibuat secara sebulat suara antara kami adik-beradik," katanya.

Sementara itu Richard enggan mengulas mengenai apa yang berlaku kepada mayat Kevin.

Sebaliknya memberitahu bahawa beliau akan menerima gelaran 'Datuk' daripada Sultan Perak bagi pihak mendiang Kevin.

Anthony Kevin Morais

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain