suria

Salleh Man Akur Akan Terus Istiqamah Dengan PAS

BUTTERWORTH: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) tunggal PAS di Pulau Pinang Datuk Mohd Salleh Man berkata beliau akan terus istiqamah dengan perjuangan parti itu dan akur dengan sebarang keputusan yang akan dibuat pimpinan pusat.

Mohd Salleh yang enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu ketika ditemui media selepas majlis Sumbangan Saguhati Jawatankuasa Qaryah 2015 berkata beliau akan bertemu dengan kepimpinan PAS negeri pada malam ini bagi membincangkan beberapa perkara termasuk berhubung kedudukannya.

Adun Permatang Pasir itu juga berulang kali memberitahu pihak media bahawa dia tidak mahu memberikan sebarang kenyataan pada masa ini.

"Saya akur dengan apa yang akan diputuskan oleh parti selepas ini. Cukuplah, cukuplah.

"Mungkin selepas pertemuan dengan pimpinan negeri malam ini baru saya boleh memberi kenyataan. Apa apa saya perlu mendengar penjelasan pada malam ini terlebih dahulu," katanya.

Ahad lalu, Pesuruhjaya PAS negeri Muhammad Fauzi Yusof dilapor berkata akan memangggil Mohd Salleh bagi menasihatinya mengikut etika dan adab di dalam parti susulan pengisytiharan parti itu sebagai pembangkang di negeri  ini.

Muhamad Fauzi juga dilapor berkata sebagai seorang anggota PAS, Mohd Salleh  seharusnya istiqamah dalam perjuangan PAS dan mengingati lafaz bai'ah yang dibuat ketika mula-mula menjadi anggota parti itu.

Khamis lepas, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mengisytiharkan parti itu sebagai pembangkang di Pulau Pinang berikutan tindakan kerajaan DAP menamatkan perkhidmatan 300 anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dari PAS di kawasan Parlimen Kepala Batas.

Terdahulu pada majlis itu seramai 795 menerima saguhati pengurusan qaryah  meliputi 203 qaryah masjid di seluruh Pulau Pinang.-- Bernama


Salleh Man, PAS

Artikel Lain