suria

Mahkamah Rayuan Kekalkan Sabitan, Hukuman Mati Terhadap Pembunuh Pengasas Ambank

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Rabu mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap bekas pemandu trak tunda, Koong Swee Kwan kerana membunuh pengasas Arab-Malaysian Bank (AmBank) Hussain Ahmad Najadi.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki juga mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 18 tahun terhadapnya kerana cuba membunuh isteri Hussain, Cheong Mei Kuen.

"Keputusan kami adalah sebulat suara. Kami mendapati tiada merit dalam rayuan ini. Berdasarkan keseluruhan bukti, kami dapati sabitannya adalah kukuh,"kata beliau ketika menolak rayuan Koong.

Mohtaruddin bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Tengku MaimunTuan Mat dan Hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim.

Pada 5 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Koong, 46, bersalah membunuh Hussain, 75, di tempat letak kereta Tokong Cina KuanYin di No 4, Lorong Ceylon, di sini antara 1.30 tengah hari dan 2 petang 29Julai 2013.

Dia juga disabitkan oleh Mahkamah Tinggi bagi tuduhan cuba membunuh Cheong,51, di tempat dan pada masa yang sama.

Pada perbicaraan hari ini, peguam Hisyam Teh poh Teik, yang mewakili Koong, berhujah bahawa kes itu sepatutnya dibawa semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula.

Katanya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin mungkin dipengaruhi kewujudan bukti bersifat prejudis memandangkan beliau telah mendengar perbicaraan terhadap anak guamnya dan rayuan oleh pemandu teksi, Chew Siang Chee, yang menghadapi tuduhan memiliki sepucuk pistol dan peluru hidup.

Pada perbicaraan kes bunuh itu, Chew memberi keterangan bahawa dia membawa Koong ke tempat jenayah berkenaan dilakukan.

Dalam hujahnya, Hisyam berkata Koong dinafikan perbicaran adil kerana dalam rayuannya berhubung tuduhan memiliki senjata api dan peluru, Chew memberitahu mahkamah bahawa Koong adalah pembunuh, dan oleh yang demikian, menurut peguam itu, hakim berkenaan sukar untuk memadam daripada mindanya kemungkinan wujudnya prejudis itu.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata tidak wujud sikap berat sebelah terhadap Koong kerana hakim Mahkamah Tinggi itu membuat keputusannya berdasarkan rekod perbicaraan yang ada di hadapan beliau.

"Sekiranya wujud unsur berat sebelah, ia mungkin terhadap Chew, bukan Koong," katanya sambil menjelaskan bahawa hakim berkenaan juga mengambil kira kenyataannya (Koong) daripada kandang tertuduh dan mendapatinya hanya berupa penafian semata-mata.

Beliau berkata beberapa saksi menyaksikan kejadian tembakan itu dan tanpa keterangan Chew pun, kes terhadap Koong, tetap jelas.

Artikel Lain