suria

P.Ramlee Tokoh Warisan Negara, Aswara Dinaik Taraf Universiti P.Ramlee

Allahyarham Tan Sri P Ramlee dinobatkan sebagai Tokoh Warisan Negara.

KUALA LUMPUR: Ikon seniman Allahyarham Tan Sri P.Ramlee diangkat sebagai Tokoh Warisan Negara manakala Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) akan dinaik taraf sebagai Universiti P. Ramlee.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

"Saya menyambut baik cadangan Pokok Sena, P.Ramlee memang seorang ahli seni yang terkenal, bukan sahaja negara kita malah juga di rantau nusantara.

"Seiring itu, kementerian akan menaik taraf Aswara sebagai Universiti P.Ramlee bagi mengiktirafnya sebagai seniman unggul, juga mengangkat beliau sebagai Tokoh Warisan Negara," kata Mohamed Nazri disambut tepukan semua anggota dewan.

Semasa perbahasan, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mahu kementerian melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) mengiktiraf Allahyarham P.Ramlee sebagai Tokoh Warisan Negara memandangkan bakat dan karya seninya menjadi rujukan dan perhatian dalam dan luar negara selain sukar dicari ganti.

Mengulas mengenai kemasukan pelancong China tanpa visa bermula 1 Disember ini, Mohamed Nazri berkata masih ada syarat yang perlu dipatuhi pelancong negara berkenaan termasuk keselamatan.

Aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan dan merupakan persetujuan dengan kerajaan China yang mahukan kemudahan itu tidak disalah guna termasuk untuk tujuan aktiviti keganasan.

"Seperti dipersetujui dengan KDN (Kementerian Dalam Negeri), kemudahan tanpa visa terpakai kepada pelancong berkumpulan...berkumpulan di sini bukanlah kita mahu sampai 20 orang baru boleh masuk, kita putuskan dua orang juga sebagai kumpulan," katanya.

Syarat-syarat lain ialah pelancong mesti melalui agensi pelancongan yang berdaftar dengan kementerian dihadkan 15 hari sahaja, keluar dan masuk pelancong adalah melalui pintu masuk udara dan dilarang memohon lain-lain pas.

Penerbangan mesti terus dari China dan mempunyai tiket balik, jaminan sara diri dalam bentuk wang tunai, kad credit atau Union Pay serta bukti penginapan dan aktiviti sepanjang berada di negara ini juga antara syarat yang ditetapkan buat pelancong dari China, katanya.

Mengenai dakwaan Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) tentang amalan pemeriksaan keterlaluan oleh Jabatan Imigresen terhadap pelancong China terutamanya gadis muda sehingga pelancong berkenaan terpaksa membayar sejumlah wang untuk memudahkan proses berkenaan, Mohamed Nazri berkata kementerian mengambil serius perkara berkenaan.

"Kali pertama dengar perkara ini, jika benar memang tidak patut...saya cadangkan pelancong ini (mangsa) sebaik sahaja selesai pemeriksaan, jika berlaku seperti didakwa, sila ke pejabat Tourism Malaysia yang terdapat di situ dan terus membuat aduan, juga ke pejabat polis terdekat.

"Saya akan minta kementerian uar-uarkan menerusi pengarah kami di  China supaya maklumkan kepada kepada pelancong-pelancong... sekiranya perkara ini berlaku, teruslah ke pejabat Tourism di airport dan buat laporan polis.

"Jangan jadikan perkara ini sebagai biasa, kerana ini bukan biasa," tegasnya. --Bernama

Aswara, P.Ramlee, Mohamed Nazri Aziz

Artikel Lain