suria

Tidak Mustahil Kembangkan Bahasa Inggeris Bersama Bahasa Malaysia

BAU: Tan Sri Adenan Satem menolak kritikan mengenai keputusannya menerima pakai bahasa Inggeris untuk kegunaan rasmi di Sarawak bersama-sama dengan Bahasa Malaysia.

Ketua Menteri berkata, beliau tidak fikir langkah itu akan menimbulkan kekacauan di kalangan rakyat seperti yang didakwa Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.

"Saya hanya bertindak secara praktikal, itu sahaja. Anda tidak boleh nafikan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa.

"Kita perlu realistik, jika tidak kita akan ketinggalan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan hak milik tanah di Dewan Suarah di sini Selasa.

Pada Isnin Rais meminta kerajaan negeri menimbang semula keputusan untuk menggunakan bahasa Inggeris bagi melindungi perpaduan antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.

Rais juga berkata, perkara itu perlu dibahaskan sebelum ia diumumkan oleh Adenan kerana ia melibatkan Perlembagaan Persekutuan.

Namun jelas Adenan, beliau tidak membuat keputusan untuk menggantikan Bahasa Malaysia dengan bahasa Inggeris.

"Kami akan terus dengan Bahasa Malaysia, tetapi kita boleh membangunkan kedua-dua Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

"Saya tidak mengatakan kita akan menggunakan bahasa Inggeris dengan dan mengetepikan Bahasa Malaysia... tidak," katanya.

Adenan Satem, Rais Yatim

Artikel Lain