suria

Wan Azizah Pertahan Tindakan Nurul Izzah Bertemu Anak Sultan Sulu

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempertahankan tindakan Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar bertemu dengan anak bekas Sultan Sulu, Jacel H.Kiram.

Katanya, Nurul Izzah yang juga anak sulungnya itu tidak patut dipersalahkan dalam hal ini kerana pertemuan itu berlaku bukan atas permintaannya.

"Pertemuan itu diatur oleh wakil pemimpin di Filipina, bukan atas pilihannya sendiri.

"Ia dipanggil oleh hos, bukan Izzah yang panggil (berjumpa)," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, Selasa.

Dr Wan Azizah berkata, susulan isu ini Naib Presiden parti Tian Chua akan memulakan prosiding undang-undang terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa membuat tuduhan liar terhadapnya.

Ahmad Zahid dilaporkan telah berkata bahawa ahli Parlimen Batu itu menjadi dalang dan bertanggungjawab dalam mengatur pertemuan Nurul Izzah dan Jacel dalam satu majlis di Manila pada awal November lalu.

"Tian Chua akan ambil tindakan mahkamah kalau Zahid tidak tarik balik dakwaannya," katanya.

Ahmad Zahid bagaimanapun mempertahankan kenyataannya dan menegaskan tidak akan menarik balik seperti yang diminta oleh Tian Chua.

"Sila jawab kepada polis apabila kenyataan akan diminta daripada beliau dan beri sila beri kenyataan penafian di mahkamah kalau tidak terlibat," katanya.

Nurul Izzah dalam satu kenyataan mengakui berlepas ke Filipina pada 9 November lalu bersama Tian Chua sebagai sebahagian daripada delegasi parti untuk bertemu pihak berkepentingan politik di negara itu.

"Dalam mesyuarat itu saya menekankan sokongan kami terhadap inisiatif kerajaan Malaysia dalam mengadakan rundingan damai di selatan Filipina.

"Saya ingin menegaskan sokongan saya dalam mempertahankan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia," kata Nurul Izzah.

Sulu, Lahad Datu

Artikel Sebelum

Artikel Lain