suria

Jakim Perlu Fokus Isu Kemiskinan Bandar - Tawfik Ismail

PETALING JAYA: Ahli G25 dan bekas Ahli Parlimen Umno, Tawfik Ismail menggesa supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digunakan semula untuk menangani masalah kemiskinan bandar di kalangan umat Islam.

Tawfik yang merupakan anak kepada timbalan perdana menteri kedua, Tun Dr Ismail Abdul Rahman juga mempertahankan pendiriannya terhadap badan agama Islam itu walaupun disiasat kerana menghasut.

"Bukankah kemiskinan bandar menjadi masalah kepada pihak berkuasa agama untuk menanganinya...tambahan pula ia melibatkan masyarakat Islam bandar?

"Satu bilion ringgit setahun boleh digunakan untuk menangani masalah kemiskinan bandar yang dihadapi belia Islam dan menghalang mereka daripada terlibat gejala mat rempit serta memperbaiki kehidupan harian mereka.

"Biarkan Raja-Raja Melayu dan majlis agama negeri menangani isu-isu agama di negeri masing-masing," katanya pada Selasa.

Tegas Tawfik pandangan tersebut adalah pendapat peribadinya dan tidak mewakili G25.

Selain itu Tawfik mencadangkan perubahan fokus pentadbiran diperingkat menteri, timbalan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama dan ketua pengarah Jakim.

Jelasnya kumpulan ini seharusnya memberi tumpuan kepada hal-hal pembangunan semula umat Islam di bandar.

Tawfik Ismail, G25

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain