suria

Bekas Pegawai JPJ Mengaku Tidak Bersalah Terima Rasuah Bulanan

Gambar hiasan

KUANTAN: Seorang bekas Ketua Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Muadzam mengaku tidak bersalah atas 19 pertuduhan menerima barang berharga tanpa balasan berjumlah RM12,300 sejak 2012 hingga Sept tahun ini di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, Selasa.

Azhar Ahmed, 51, didakwa menerima suapan berkenaan secara bulanan daripada pengusaha-pengusaha lori yang beroperasi di sekitar Muadzam Shah.

Tertuduh menghadapi tujuh pertuduhan menerima barang berharga daripada Mohd Sufian A Majid berjumlah RM5,600 antara Feb hingga Dis 2012.

Azhar juga didakwa atas empat pertuduhan lagi iaitu menerima barang berharga daripada Tan Lee Eng@ Tang Gee Yong berjumlah RM1,400 antara Julai dan Okt 2012.

Tertuduh turut didakwa atas tiga pertuduhan lagi iaitu menerima barang berharga daripada Rameli Majid berjumlah RM1,800 antara Julai dan Okt 2012.

Lima pertuduhan lagi menerima suapan daripada A.Naganah dan Lin Ten Loi masing-masing berjumlah RM2,400 dan RM1,000 serta RM100 daripada Yap Chia Shiang antara Julai dan September 2015.

Bagi kesemua pertuduhan tersebut, Azhar didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Hakim Habibah Mohamed Yusof menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM21,000 dengan seorang penjamin dan 22 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Shafinaz Shabudin.

JPJ, Rasuah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain