suria

Menara KL Nyalakan Lampu Lambang Solidariti Untuk Paris

Menara KL.

PETALING JAYA: Warna biru, putih dan merah pada bendera Perancis dipaparkan pada Menara Kuala Lumpur (KL) sebagai lambang solidariti susulan serangan berdarah di Paris yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 129 maut.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan berkata sebagai anggota Persekutuan Menara Terkemuka Dunia, paparan cahaya di atas menara setinggi 400 meter itu dicipta sebagai lambang solidariti kepada mangsa dan juga mengutuk serangan keganasan.

"Kami mahu menunjukkan solidariti rakyat Malaysia kepada mangsa dan menegaskan keganasan bukan cara yang betul. Kami berdoa agar Paris bangkit semula daripada tragedi hitam ini," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beberapa mercu terkemuka dunia seperti One World Trade Centre di New York, Opera House di Sydney, Australia dan San Francisco City Hall antara yang turut menyalakan lampu berasaskan warna bendera Perancis.

Meor Shahril berkata ini bukan kali pertama Menara KL menyalakan lampu sedemikian untuk sebab-sebab tertentu.

"Kami menerima begitu banyak komen menerusi akaun Instagram bertanya mengapa kami melakukannya.

"Namun, kami telah menyalakan lampu di Menara KL untuk mengetengahkan pelbagai isu termasuk lampu berasaskan warna bendera Jepun semasa tsunami dan menggumpul dana khas untuk mangsa Palestin.

"Adalah tidak adil untuk menuduh kami hanya melakukannya untuk Perancis. Kami hanya berdiri bersama rakan anggota yang lain untuk menyatakan sokongan kami," katanya.

Beliau berkata, sistem lampu baharu pada bangunan menara itu yang disiapkan pada Julai lalu, menjadikan paparan warna lampu berasaskan bendera Perancis itu berjaya dihasilkan.

"Kami menerima liputan dari seluruh dunia, dan akan terus meningkatkan promosi menara ikonik di negara ini," katanya.


Menara KL, bendera Perancis

Artikel Berikut

Artikel Lain