suria

"Norieen Sangka Adik Tidur"

GUA MUSANG: Tubuh adiknya, Haikal Yaakob, yang terkulai layu cuba diangkat kerana disangka masih bernyawa.

Demi kasih dan sayang seorang kakak, Norieen Yaakob, 10, masih menaruh harapan kemungkinan adiknya yang berusia lapan tahun itu hanya tertidur kerana letih akibat kebuluran.

Walaupun dengan kudrat yang terbatas, Norieen bersama seorang lagi rakannya yang terselamat, Miksudiar Aluj, 11, cuba menarik mayat Haikal naik ke kawasan yang lebih tinggi.

Juhi Angah

“Norieen turun dengan Miksudiar nak angkat. Mereka ingat Haikal hidup lagi... ingat Haikal tidur.

“Dia kejutkan Haikal, cuba nak angkat naik ke pokok besar. Tapi mereka tak berjaya. Mereka naik semula ke akar pokok. Namun keesokan hari mereka tengok mayat Haikal dah hanyut,” demikian menurut Juhi Angah, ibu saudara Norieen.

Kepada Juhi pengalaman hitam itu diceritakan Norieen sedikit demi sedikit sejak dia dan Miksudiar diselamatkan pada 9 Oktober lalu.

Menurut Juhi, anak saudara itu mengalami perubahan emosi yang ketara selain masih trauma selepas melihat seorang demi seorang rakannya mati di depan mata.

“Kita tak boleh tanya dia, kalau dia nak cerita sendiri boleh. Kalau tanya dia akan menangis. Dia tak akan beritahu dan tak nak cakap pasal kejadian tu.

“Kalau dia nak cakap, dia akan beritahu sendiri. Sebelum ini dia ceria...happy. Tapi lepas kejadian itu ada perubahan,” katanya ketika ditemui secara eksklusif di Kampung Penad, Pos Tohoi di sini, baru-baru ini.

Kampung Penad terletak kira-kira 25 kilometer dari Pos Tohoi.

Kunjungan mStar Online bersama rakan wartawan daripada Kumpulan Media Star ke perkampungan Orang Asli itu pada Selasa minggu lalu bagaimanapun tidak disenangi Norieen dan ibunya, Midah Angah.

Bagaimanapun selepas tiga hari meluangkan masa mempelajari dan menyelami gaya hidup suku Temiar itu, Norieen dan ibunya mula mesra dan mudah didekati.

Norieen kembali ceria dan aktif bersama rakan-rakannya di kampung.
Cerita Juhi lagi, Norieen bersama adiknya, Haikal dan Miksudiar serta empat rakan mereka yang lain sentiasa bergerak dalam kumpulan sepanjang berada di hutan.

“Norieen ada cerita dia terpaksa mendukung Juvina sampai ke sungai kerana kakinya patah. Keadaan Ika juga sama, dia sakit di kaki dan tertusuk kayu di pipi.

“Mereka duduk berehat di akar pokok di mana pihak berkuasa jumpa Norieen dan Miksudiar. Haikal yang mati dahulu di situ.

“Sasa pula tergelincir ketika nak minum air di sungai. Juvina sebelum ini sudah ada bisul di kepala, dia mati kerana lapar dan sakit,” kata Juhi.

Ditanya mengenai keadaan Norieen selepas pulang ke rumah, Juhi berkata, kanak-kanak itu pernah bermimpi sambil memanggil nama Juvina.

“Norieen ada mimpi dan sebut nama Juvina. dia trauma sebab nampak mayat Juvina dimakan biawak,” kata Juhi sambil menambah bahawa kumpulan kanak-kanak hanya bertahan dengan memakan buah hutan dan air sungai.

Sementara bagi Midah, beliau masih tertanya-tanya mengenai misteri kehilangan anaknya itu sebelum dijumpai selepas 46 hari bertarung nyawa di dalam hutan.

“Norieen tahu jalan nak balik ke rumah. Tapi entah mengapa mereka ambil laluan yang bertentangan dan terus sesat kerana tak biasa dengan jalan yang mereka lalui itu,” katanya.

Bagi suku Temiar, mereka percaya Norieen masih didampingi ‘semangat jahat' walaupun kanak-kanak itu kini dilihat pulih secara fizikal.

Kunjungan kami ke sana juga sempat untuk menyaksikan acara ritual keagamaan yang dikenali sebagai sewang bagi memulihkan semangat Norieen selain bertujuan untuk memohon supaya kampung mereka dihindar daripada roh jahat.

Kami juga dibawa menziarahi tanah perkuburan penduduk Kampung Penad iaitu lokasi di mana empat lagi kanak-kanak lain disemadikan.

Menurut Midah, hingga kini dia tidak membenarkan Norieen menziarahi kubur adik dan rakan-rakannya sehingga anaknya itu pulih sepenuhnya.

Norieen, Miksudiar dan Haikal merupakan antara tujuh kanak-kanak Orang Asli daripada SK Tohoi dilaporkan hilang di hutan berhampiran sejak 23 Ogos lalu.

Empat yang lain ialah Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Linda Rosli, 8 dan Juvina David, 7.

Bagaimanapun hingga kini operasi mencari Sasa masih diteruskan.

Artikel Berikut

Artikel Lain