suria

Pertandingan Fesyen Kanak-Kanak Warnai Karnival Zakat 2015

PUTRAJAYA: Sejajar matlamat untuk mendidik ilmu berkaitan zakat di kalangan generasi muda, Karnival Zakat 2015 menganjurkan pertandingan fesyen kanak-kanak berkonsepkan islamik.

Dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, acara yang diadakan di Dataran Putra di sini itu melibatkan penyertaan 25 kanak-kanak berusia antara satu hingga lima tahun.

Pertandingan anjuran Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terbahagi kepada dua kategori umur iaitu satu hingga dua tahun serta tiga hingga lima tahun.

Ia diadili berdasarkan kreativiti berpakaian dan gaya persembahan oleh Penolong Pengurus Unit Dakwah Am PPZ-MAIWP Muhammad Fakhrurrazy Md Arif dan Penolong Pengurus Besar ICT PPZ-MAIWP Noorul Izzatol Akhbariee.

Kanak-kanak berusia setahun, Aisy Aryan Mohd Faizal dan Malika Sabrina Syamsul Izhar yang berusia tiga tahun dinobatkan sebagai pemenang. Mereka membawa pulang wang tunai RM100 dan hamper.

Ibu salah seorang peserta, Marina Mustafa Kamal, 30, berkata karnival seperti ini bermanfaat untuk memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai zakat.

"Ia pendedahan yang bagus untuk pupuk pengetahuan kanak-kanak mengenai zakat walaupun mereka masih kecil dan tidak faham lagi tentang zakat.

"Selain itu, mereka boleh sertai pelbagai aktiviti menarik dan berfaedah yang disediakan daripada pelbagai agensi yang terlibat," katanya kepada mStar Online.

Jelasnya lagi, usaha yang dilakukan oleh PPZ-MAIWP ini sangat bijak kerana melibatkan semua golongan umur dan tidak melupakan golongan kanak-kanak untuk turut serta dalam pelbagai acara yang dijalankan.

"Banyak acara yang ada di sini sesuai dengan kanak-kanak, remaja malah juga untuk dewasa.

"Karnival ini diharapkan dapat diteruskan supaya dapat beri manfaat serta pengalaman baru kepada semua peringkat umur," ujarnya.

Karnival Zakat 2015 PPZ-MAIWP dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dan Masjid Putra ini bersempena sambutan 25 tahun Jubli Perak.

Karnival ini menyasarkan semua peringkat umur dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung yang hadir seperti aktiviti cabutan bertuah, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, persembahan nyanyian daripada artis, demo masakan oleh Chef Ammar dan juga forum perdana.

Sebanyak 15 ruang pameran dan gerai jualan turut terlibat seperti PPZ, Baitulmal, Hospital Pusrawi, Darussyifa, Persatuan Orang Buta Malaysia dan banyak lagi.

Tidak ketinggalan, PPZ-MAIWP turut menyediakan kemudahan taksiran zakat dan khidmat pembayaran zakat melalui skim potongan gaji zakat, portal zakat, pembayaran melalui internet, aplikasi I Zakat yang boleh dimuat turun di Appstore dan Google Play dan van bergerak zakat.

Artikel Lain