suria

Yuran Pelajar Tempatan Di IPTA Antara Terendah Di Dunia - KPT

KUALA LUMPUR: Yuran untuk pelajar tempatan di universiti awam di negara ini ialah yang paling rendah di dunia, menurut Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang berkata kerajaan memperuntukkan subsidi sekurang-kurangnya RM16,000 bagi setiap pelajar semasa  tempoh pengajian.

"Sebagai contoh, pelajar Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) membayar yuran sekitar RM2,000 setiap tahun bagi kursus ijazah kejuruteraan dan RM1,500 setahun untuk kursus ijazah perniagaan," kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan itu adalah susulan laporan bertajuk 'The 11 Most Expensive Countries For A University Education' (11 Negara Paling Mahal Bagi Pendidikan Universiti) yang disiarkan dalam Businessinsider.com.

Merujuk kepada statistik mengenai pendapatan bulanan isi rumah daripada Jabatan Perangkaan, Zaini berkata dengan pendapatan bulanan isi rumah purata RM6,141 atau RM73,692 setahun pada 2014, ia menunjukkan bahawa isi rumah di Malaysia membelanjakan hanya tiga peratus daripada gaji tahunan mereka bagi yuran tuisyen di universiti awam.

"Ini bercanggah dengan laporan yang disiarkan dalam laman sesewang itu yang merujuk kepada 20 universiti awam di Malaysia, dan menyatakan bahawa isi rumah di Malaysia purata membelanjakan kira-kira 55 peratus daripada gaji mereka yang cuma RM2,052 sebulan bagi yuran universiti awam, dan bahawa ibu bapa akan mengalami pemotongan lebih separuh daripada gaji mereka untuk membayar tanpa biasiswa," kata beliau.

Zaini berkata kadar pengambilan di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) telah menyaksikan peningkatan konsisten secara sepenuh masa dengan kadar pengambilan meningkat daripada 376,000 pada 2004 kepada 698,000 pada 2014, yang disiarkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

Beliau berkata Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan pinjaman pelajaran dengan 75 peratus daripada pelajar Malaysia di universiti awam mendapat manfaat bagi menampung yuran dan kos sara hidup pada 2013 dan 2014.

Pinjaman tersebut secara automatik bertukar kepada biasiswa bagi pelajar yang memperoleh diploma dengan mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.67 atau lebih tinggi, kata beliau.

Zaini berkata pelajar Malaysia juga mendapat manfaat daripada pelbagai biasiswa yang ditawarkan oleh yayasan dan agensi kerajaan dan layak bagi biasiswa kerajaan 'MyBrain15' untuk memupuk pembangunan modal insan dengan melanjutkan pengajian lepasan ijazah. 

KPT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain