suria

MIC Tidak Boleh Amal Politik Kasta - Najib

SERDANG: Kepimpinan baharu MIC tidak boleh mengamalkan politik kasta jika mahukan perubahan sebenar yang besar dalam parti, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata setiap calon yang tewas pada pemilihan semula parti itu masih berperanan dalam membantu MIC melakukan proses transformasi ke arah matlamat utama Barisan Nasional (BN), iaitu memenangi pilihan raya umum.

"Jangan tolak mereka (yang kalah) kerana mereka tidak masuk dalam kem kita atau kasta kita ...Kita mesti menerima mereka kerana kita mahu memandang ke hadapan dan mereka ini adalah pemimpin masyarakat India.

"JIka anda tidak menerima mana-mana dari mereka, maka anda tidak boleh menyalahkan orang lain jika anda tidak diterima...sebab itu MIC tak boleh amalkan kasta politik lagi," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, Jumaat.

Beliau berkata penyertaan dalam MIC juga kini semakin membesar, justeru parti itu harus mencerminkan aspirasi dan kehendak masyarakat India secara keseluruhan.

Najib berkata kepimpinan baharu MIC mesti mencerminkan tadbir urus yang baik dan amalan yang adil serta berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran calon yang kalah ke dalam parti.

"Kita nak menang bukan kerana kuasa...tetapi kuasa itu perlu kalau kita nak ubah nasib komuniti kita, kumpulan etnik, rakyat dan negara secara keseluruhannya.

"Saya nak tekankan hari ini bukan sahaja sambut perubahan dalam kepimpinan MIC daripada presiden sampai peringkat akar umbi, tapi apa yang saya inginkan ialah perubahan sebenar bukan perubahan kosmetik atau personaliti sahaja," katanya.

Najib, yang juga pengerusi BN, berkata parti itu perlu melupakan kisah lama dan berusaha menyatupadukan semua ahli agar ia menjadi lebih kuat dan BN lebih disegani.

Beliau memuji MIC kerana melangsungkan pemilihan semula parti dalam suasana tenteram dan dengan tiada sebarang pertikaian terhadap keputusan pemilihan.

MIC, Politik Kasta

Artikel Lain