suria

Kes Bunuh Di Tapah: "Harap Bapa Saudara Masih Hidup" - Sukhvinderjit

TAPAH: "Kami mengharapkan yang terbaik, sentiasa berdoa semoga pakcik masih ada lagi," demikian luahan anak saudara kepada salah seorang mangsa yang dipercayai dibunuh empat sekeluarga di sekitar daerah Tapah dekat sini minggu lepas.

Sukhvinderjit Singh, 19, berkata setakat ini, polis masih belum mengesahkan identiti mangsa pembunuhan kejam itu merupakan bapa saudaranya yang dilaporkan hilang sejak Ogos lepas.

"Kami harap PDRM (Polis Diraja Malaysia) beri maklumat tepat, kami semua berdoa agar pakcik masih hidup," katanya ketika ditemui pemberita di Chenderiang di sini Beliau berkata bapa saudaranya merupakan seorang yang baik hati, penyayang dan bertanggungjawab.

"Saya lihat keluarga pakcik sangat sedih sejak kehilangannya kerana mereka kehilangan ketua keluarga yang menjaga mereka selama ini," katanya yang bekerja dengan bapa saudaranya itu di ladang.

Katanya kesemua anggota keluarga ketika ini sedang berkumpul di Ipoh bagi menjalankan upacara doa untuk memohon agar bapa kepada empat orang anak itu pulang dengan selamat.

Polis telah menahan sepasang suami isteri dan dua anak lelaki mereka dipercayai terbabit dalam kes bunuh sekurang-kurangnya empat individu di sekitar daerah Tapah, dekat sini, 26 Okt lepas.

Kesemua suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Pahang, Tapah kira-kira pukul 1.30 tengah hari, susulan laporan kehilangan mangsa lelaki berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pekebun dan ejen hartanah di Kampung Sungai Lah, Chenderiang dekat sini pada 25 Ogos lepas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Datuk Dr Mah Hang Soon berkata pihak kerajaan negeri berharap polis dapat menjalankan siasatan dengan lebih terperinci bagi mengetahui perkara sebenar di sebalik kejadian itu.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri berasa dukacita dengan kejadian ini. Saya berasa simpati dengan keluarga mangsa," katanya dan menambah kerajaan negeri akan menyumbangkan RM3,000 kepada keluarga mangsa.

Tapah, Bunuh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain