suria

'Jadi Berani Dan Berdebat Dengan Arul' Kata Ahmad Zahid Kepada Pua

Ahmad Zahid Hamidi.

PUTRAJAYA: Jadi berani, jadi seorang lelaki dan berdebat dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy, kata Timbalan Perdana Menteri kepada Ahli Parlimen Pembangkang Tony Pua.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu tidak seharusnya mengubah pendiriannya berhubung isu itu selepas Arul Kanda bersetuju untuk berdebat dengan beliau secara langsung di televisyen dan menarik syarat awalnya.

Jika anda berani mencabar orang lain, maka anda perlu berani untuk menerima cabaran," katanya mengenai perkara itu.

Pada Sabtu, Arul mengumumkan bahawa beliau bersedia berdebat dengan Pua dan menarik balik syarat awalnya yang mahu pemimpin DAP itu meletak jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat kes tersebut.

Terdahulu, Arul telah meminta Pua untuk meletak jawatan daripada PAC untuk mengelak pertembungan kepentingan peribadi.

Namun, dilaporkan Pua mendakwa program yang dicadangkannya itu bukan debat tetapi hanya bual bicara.

Ahmad Zahid berkata beliau menyokong sepenuhnya perdebatan itu disiarkan di televisyen supaya semua 'persoalan mengenai 1MDB akan dijawab'.

"Pua tidak boleh ubah pendirian. Jika beliau mahukan jawapan, ini adalah masa yang tepat. Saya harap dia menerima cabaran untuk berdebat bersama Arul dengan hati yang suci.  Beliau mungkin seorang ahli politik tetapi jangan mempolitikkan perkara ini," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain