suria

Rakyat Malaysia Didakwa Import Dadah Ke Melbourne

MELBOURNE: Seorang rakyat Malaysia kini berada dalam tahanan selepas didakwa mengimport dua liter cecair methamphetamine ke Melbourne.

Tze Thong Too, 24, ditahan di pinggir bandar Fitzroy di sini pada Khamis dalam satu operasi bersama melibatkan Polis Victoria, Polis Persekutuan dan pegawai Australian Border Force (ABF), demikian menurut laporan Australian Associated Press.

ABF mengesan penghantaran itu, yang datang dari Hong Kong dan China, dan menahan lelaki tersebut yang memiliki 680g kristal methamphetamine, kata polis.

Sebuah restoran di Fitzroy dan pangsapuri di bandar Melbourne digeledah berikutan penangkapan lelaki itu.

Tze didakwa mengimport dadah terkawal dalam kuantiti komersial dan ditahan reman sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Melbourne untuk sesi pendengaran pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Sementara itu, seorang rakyat Malaysia berusia 31 tahun ditahan di pangsapuri berkenaan kerana visanya telah tamat tempoh dan dibawa ke Pusat Tahanan Imigresen Maribyrnong.

Artikel Lain