suria

Indeks Gender Wajib Dimasukkan Dalam Laporan Tahunan Syarikat

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor hadir pada Persidangan Wanita Dalam Politik Asean 2015, Sabtu. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (duduk empat, kiri) dan Ketua Wanita UMNO yang juga Pengerusi Persidangan Wanita Dalam Politik ASEAN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (duduk tiga, kiri).

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti melancarkan inisiatif baharu untuk mewajibkan syarikat memasukkan indeks gender dalam laporan tahunan mereka bagi memantau kepelbagaian gender dalam pertubuhan mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada dasar kerajaan untuk meningkatkan jumlah wanita dalam jawatan pembuat keputusan di sektor awam dan swasta, kepada 30 peratus menjelang tahun depan.

"Menjelang tahun depan, kita akan tahu komposisi wanita dalam setiap anggota lembaga pengarah syarikat, (peringkat) pengurusan, dan pekerja," katanya ketika merasmikan Persidangan Asean mengenai Wanita dalam Politik (Asean WIP KL2015) di sini, Sabtu.

Beliau berkata bagi merancakkan usaha negara dalam menggubal dasar dan undang-undang khusus bagi wanita, kerajaan turut menubuhkan Majlis Penasihat dan Perundingan Wanita.

"Majlis ini akan bertindak sebagai pasukan pemikir, pemantau dan penilai kecekapan serta keberkesanan dasar dan program kerajaan berkaitan wanita selain akan melaksanakan peranan penting sejajar dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita.

"Inisiatif ini susulan pemasukan 'Mendukung Peranan Wanita' sebagai satu daripada strategi utama dalam bajet lepas - yang menggariskan perancangan untuk menambah baik akses kepada pasaran kerja bagi semua wanita," katanya.

Najib turut menegaskan bahawa Malaysia berbangga dengan tradisinya mengiktiraf wanita yang berjiwa kental.

"Tradisi inilah yang kami harap dapat diperkukuhkan di masa depan, meningkatkan jumlah pemerkasaan pemimpin wanita yang kita ada hari ini, dan memastikan bahawa semua wanita merangkumi semua wilayah mempunyai peluang setara untuk berjaya di hari muka," katanya.

Beliau berkata wanita mempunyai peranan serupa, yang sememangnya penting, untuk dilaksanakan dalam perkara berkaitan politik, tadbir urus dan kepimpinan.

"Kita mesti mencabar dan mengatasi resaman sosial yang menyatakan bahawa peranan wanita hanyalah sebagai suri rumah. Kedua-dua gender, baik lelaki mahupun wanita, mesti memahami bahawa tanggungjawab ini perlu dikongsi dan lelaki perlu turut berkongsinya.

"Hanya dengan mempunyai penetapan minda seperti ini, wanita dapat pergi jauh, dan benar-benar setara di tempat kerja," katanya.

Sementara itu, mengenai Asean WIP KL2015, Najib berkata persidangan berkenaan membawa banyak manfaat, memandangkan ia bertujuan mewujudkan rangkaian politik bagi wanita Asean yang terbabit dalam politik selain menggalakkan penyertaan lebih besar golongan wanita dalam jawatan pembuat keputusan dan proses pemilihan.

"Ini hanyalah permulaan, daripada apa yang saya harapkan supaya menjadi trend yang berkembang dalam kerjasama dan perkongsian negara anggota Asean, Sabtu.

"Kita mesti menggalakkan dan menyokong pertukaran idea merentasi sempadan, dan kemudiannya mewujudkan persekitaran untuk idea itu dilaksanakan. Ayuh kita belajar daripada satu sama lain, dan dengan berbuat demikian, turut saling memperkukuhkan diri kita," katanya.

Beliau berkata Malaysia berbangga untuk menyokong saluran dan wadah apabila pemimpin wanita dapat berkongsi pendapat serta idea ke arah mempertingkatkan perwakilan wanita dalam politik.

Najib berkata beliau menantikan penubuhan sekretariat wanita dalam politik di Kuala Lumpur bagi memastikan dialog dan kerjasama ini dijadikan acara tahunan.

Asean WIP KL2015 adalah persidangan antarabangsa anjuran Wanita Barisan Nasional, berkaitan wanita dalam politik, yang diadakan buat julung kali dengan dihadiri 121 delegasi daripada 24 parti politik di rantau ini. -- Bernama


Artikel Sebelum

Polis Maut Kes Langgar Lari

Artikel Lain