suria

COC Kaedah Terbaik Selesai Tuntutan Wilayah Di Laut China Selatan

Hishammuddin Hussein.

BEIJING: Malaysia tetap yakin bahawa Kod Tatalaku (COC) merupakan cara terbaik untuk menangani persaingan tuntutan wilayah di Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut menyeru agar rundingan dipergiat bagi memastikan penubuhan segera COC yang cekap.

Beliau berkata usaha sedemikian akan menjadi instrumen utama dalam memastikan pengurusan yang sewajarnya terhadap laluan laut dan langit terbuka yang amat penting.

"Kedudukan Malaysia adalah, masalah di Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman menerusi platform pelbagai hala," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi plenari pertama, 'Trend Keselamatan Asia Pasifik: Cabaran dan Peluang', Forum Xiangshan keenam, di sini pada Sabtu.

Hishammuddin juga menegaskan bahawa konsep kesederhanaan perlu terus diperjuangkan, kerana masalah termasuk ekstremisme dan konflik negeri sering berpunca daripada kejahilan.

"Pendekatan yang lebih seimbang dan sederhana, bukan sahaja dalam urusan kita dengan orang lain, tetapi bagaimana kita menguruskan diri sendiri dapat mencegah banyak masalah yang dihadapi hari ini," katanya.

Beliau berkata kesederhanaan telah konsisten dengan orientasi dasar luar Malaysia dan diterima sebagai 'cara ASEAN' semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 pada April tahun ini.

"Kesederhanaan mempunyai akarnya menerusi konsep Islam Hadhari dan Wasatiyah yang didukung oleh kedua-dua bekas dan Perdana Menteri kini. Islam, adalah dan sentiasa menjadi agama keamanan dan pembebasan," katanya.

Artikel Lain