suria

Ketepi Perbezaan Pendapat Demi Perpaduan Ummah - Zahid

HUTAN MELINTANG: Rakyat perlu mengetepikan perbezaan pendapat demi perpaduan ummah, kestabilan dan kemajuan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ini akan membolehkan mereka memberi fokus usaha untuk memperkasa ekonomi negara.

"Atas nama Islam kita hendaklah mengetepikan perbezaan pendapat, pegangan parti politik dan berazam melakukan hijrah daripada sikap lama kepada sikap baharu untuk mewujudkan sebuah negara aman damai yang mendapat keredaan dan keampunan daripada Allah SWT," katanya semasa merasmikan program Hijrah Perdana bersama Timbalan Perdana Menteri di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang, di sini Sabtu malam.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Sumber Manusia dan Hal Ehwal Islam Kemboja, Datuk Osman Hassan, Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi dan penceramah bebas yang juga penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Perak 2015, Ustaz Datuk Kazim Elias.

Program anjuran kerajaan negeri Perak dengan kerjasama Astro Oasis dan Astro Kasih itu dihadiri lebih 5,000 orang. Antara artis yang menyerikan program tersebut ialah penyanyi Asmani Anui yang lebih dikenali sebagai Mawi dan penyanyi dan pendakwa bebas, Akhil Hayy.

Ahmad Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, berkata sempena sambutan maal hijrah pada tahun ini, semua pihak perlu melakukan penghijrahan minda, sikap dan tindak-tanduk.

Beliau berkata perbezaan pendapat dalam kalangan rakyat akan menyebabkan perpecahan.

"Kita sepatutnya meraikan perbezaan pendapat tetapi harus ada adab dan ketertiban. Jika ini dapat diamalkan akan menguatkan ummah sambil wujud sikap saling menghormati agama dan pihak lain," katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga berharap umat Islam di negara ini dapat menghayati bukan sahaja perkara tersurat tetapi juga perkara tersirat serta tidak melihat penyatuan ummah dari segi retorik politik semata-mata.

"Kita boleh berbeza pendapat setiap lima tahun sekali, ikutlah hati budi masing-masing tetapi perlu juga berterima kasih kepada yang memberi sebagai tanda kesyukuran kepada Allah.

"Pihak yang memberi itulah kerajaan yang mentadbir negara ini dan sebagai wakil dalam kerajaan akan melakukan yang terbaik dan apabila sudah berusaha, bertawakal kepada Allah," katanya.

Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Sebelum

Keperluan Beri Vaksin

Artikel Berikut

Artikel Lain