suria

Ada Cadangan Ubah Kelab Golf Diraja Selangor Jadi Taman Rekreasi

Abdul Rahman Dahlan.

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ada menerima cadangan daripada pelbagai medium supaya mengubah Kelab Golf Diraja Selangor di Jalan Tun Razak di sini sebagai taman rekreasi dalam bandar.

Menteri berkenaan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata perkara itu perlu diteliti dan dibincangkan dengan pihak berkaitan termasuk pemilik kelab golf itu.

"Jabatan Landskap Negara akan melakukan pertemuan dengan pemilik kelab itu dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan.

"Keputusannya nanti bergantung kepada persetujuan pihak berkenaan kerana kita memahami nostalgia dan sejarah lokasi itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Habitat Sedunia 2015 di sini, Isnin.

Abdul Rahman berkata mengikut perkembangan semasa, tiada lagi padang golf di kawasan bandar raya di kebanyakan negara maju.

Justeru itu, beliau berpendapat lokasi kelab golf itu sesuai dibangunkan  sebagai taman rekreasi seperti Central Park di New York, Amerika Syarikat.

"Kita faham warga kota memerlukan sebuah taman rekreasi yang berhampiran dengan tempat tinggal, tempat kerja dan pusat perniagaan. Di situ, mereka boleh berehat, beriadah contohnya selepas waktu kerja sementara menunggu surutnya kesesakan lalu lintas sebelum pulang ke rumah," katanya.

Abdul Rahman berkata selain menjadi taman rekreasi, kawasan itu juga boleh dibangunkan dengan pusat budaya untuk aktiviti keluarga.

Kelab Golf Diraja Selangor, yang dibangunkan pada 1893, ialah antara kelab golf tertua di Asia. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain