suria

SPRM Tumpu Usaha Perangi Rasuah Dalam Sektor Perbankan

Mustafar Ali.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi lebih tumpuan dalam usaha memerangi rasuah dalam sektor perbankan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, SPRM akan mengadakan perbincangan  dengan Persatuan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dalam masa terdekat.

"Satu perbincangan dua hala antara SPRM dan AIBIM akan diadakan selepas ini bagi memperincikan kerjasama erat itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, SPRM pada Isnin telah menganjurkan 'MACC Luncheon Talk' bersama AIBIM di Putrajaya, selaras dengan Dasar Merakyatkan SPRM untuk memberi ruang kepada sektor perbankan Islam mengenai peranan mereka dalam memerangi rasuah.

Menurut kenyataan itu, program itu juga diadakan bagi menjelaskan peranan dan fungsi SPRM kepada anggota-anggota AIBIM, serta usaha-usaha pencegahan rasuah yang sedang dijalankan.

"Usaha-usaha secara bersepadu ini diharap akan mengurangkan kadar rasuah, memperbaiki indeks persepsi rasuah dalam industri perbankan dan secara keseluruhannya mampu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM.

"Selain itu, SPRM juga berharap pertemuan ini akan memerangi jenayah rasuah dan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan integriti dan memerangi jenayah rasuah dalam negara," kata Mustafar. - BERNAMA

SPRM, Mustafar Ali, rasuah perbankan

Artikel Lain