suria

Yazid Sufaat Sebar Ilmu Agama Secara Salah - Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin diberitahu bahawa bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat, menyebarkan ilmu agama secara salah dengan memanipulasikan maksud jihad dan al-Quran ketika menyampaikan usrah di rumahnya.

Pegawai Hal Ehwal Islam Kementerian Dalam Negeri (KDN) Zamihan Mat Zin Al-Ghari, 39, berkata analisis yang dibuatnya terhadap transkrip usrah di rumah Yazid pada 21 Julai 2012 mendapati usrah itu menyemai fahaman Salafi Jihadi dan mencetuskan jihad bersenjata yang boleh menggugat keselamatan negara.

"Sekiranya seseorang itu menerima dan mempraktikkan fahaman dan ideologi yang diberi penceramah (Yazid), mereka mampu melakukan tindakan kekerasan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

"Doktrin radikal dan ekstremis yang mereka anuti mampu memburukkan imej Islam dan mencetuskan Islamphobia dalam kalangan bukan Islam serta memburukkan imej negara di mata dunia apabila keluar berperang di negara asing seperti Filipina, Chechnya dan Afghanistan," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Mohd Izhar.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata demikian pada perbicaraan kes Yazid, 51, dan pembantu kafetaria, Muhammad Hilmi Hasim, 35, yang didakwa terbabit dalam aktiviti menggalakkan keganasan.

Yazid berdepan dua pertuduhan menggalakkan keganasan dengan niat mengugut orang awam di Syria dan menjadi anggota kumpulan Tanzim Al Qaeda Malaysia manakala Muhammad Hilmi didakwa bersubahat dengannya.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang dekat sini antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari 2013 mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574)  yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Yazid dan Muhammad Hilmi diwakili oleh peguam Amer Hamzah Arshad.

Zamihan, yang bertugas di Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, berkata melalui siri usrah sama, Yazid turut memanipulasi ayat al-Quran dari Surah Al'An'am ayat 116 yang menyatakan sistem demokrasi merupakan rasuah kepada rakyat.

"Penceramah menggunakan ayat ini yang menyatakan sistem demokrasi merupakan rasuah kepada rakyat, sedangkan di dalam surah itu tidak menyebut mengenai demokrasi di Malaysia.

"Penceramah juga menghasut peserta usrah supaya membenci kerajaan atas alasan negara ini bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) menangkap tentera mujahidin dan menggalak peserta usrah berjihad di medan perang," katanya.

Zamihan, yang mempunyai kepakaran dalam bidang akidah dan falsafah, diminta pegawai penyiasat Insp S. Manivanan untuk menganalisis dan membuat laporan rakaman audio dan transkrip usrah bertarikh antara 7 Julai 2012 hingga 5 Januari 2013.

Selain itu, katanya Yazid mentafsir al-Quran secara literal dan menyelewengkan kedudukan ayat Al-Quran selain menyempitkan maksud jihad hanya dengan harta dan nyawa serta menggalakkan jihad dengan senjata.

"Penceramah turut menggalakkan pengikut berlatih ala tentera untuk pergi berperang...katanya 'be prepared untuk pergi jihad...tiga belas tahun'," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Azman Husin bersambung pada Selasa. - BERNAMA


Yazid Sufaat

Artikel Lain