suria

Lebih 1,000 Berhimpun Bantah Keganasan Israel Terhadap Masjid Al Aqsa

Lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan berhimpun di hadapan kedutaan Amerika Syarikat bagi membantah pencerobohan rejim Israel terhadap masjid suci Al-Aqsa di Baitulmaqdis, pada Jumaat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 orang daripada 47 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pada Jumaat menyertai Himpunan Hari Kemarahan dengan berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di sini untuk menyerahkan memorandum bagi membantah keganasan terbaharu Israel di Masjid Al Aqsa.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, memorandum itu bertujuan menggesa kerajaan Amerika Syarikat, sekutu kuat Israel, untuk mengambil tindakan berhubung peristiwa terkini di Masjid Al Aqsa.

"Kami percaya, Presidennya Barrack Obama mempunyai pengaruh yang luas untuk menghentikan tindakan Israel ke atas rakyat Palestin, dan supaya pencabulan Masjid Al Aqsa yang suci oleh Polis Israel dan penduduk Israel dihentikan segera," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Azmi Abdul Hamid yang turut mengiringi Mohamad Raimi berkata, mereka menyerahkan memorandum berkenaan kepada pegawai keselamatan serantau Kedutaan Amerika Syarikat, Bernard Green untuk disampaikan kepada Duta Besar Amerika Syarikat, Joseph Yun.

"Kami dimaklumkan pihak kedutaan akan menghantar memorandum itu segera ke negara mereka dan akan memberikan maklum balas kepada kami.

"Perhimpunan itu diadakan bermula pukul 2 petang selepas peserta menunaikan solat Jumaat yang kemudiannya berarak dari (bangunan) Tabung Haji sebagai simbol bantahan terhadap tindakan kejam Israel yang melancarkan serangan hingga menyebabkan kematian rakyat Palestin dan kerosakan Masjid Al Aqsa," katanya. 

Katanya, Himpunan Hari Kemarahan ini mendesak supaya tindakan tentera Israel mengepung dan membahagikan kawasan Masjid Al Aqsa dihentikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, tiada kekecohan yang berlaku sepanjang perhimpunan itu diadakan.

"Polis berjaya mengawal keadaan dan peserta perhimpunan tidak melanggar kawasan larangan yang ditetapkan oleh pasukan polis yang berkawal," katanya.

Beliau berkata berikutan perhimpunan itu, terdapat penutupan jalan di susur Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak sepanjang 10 kilometer menyebabkan kesesakan teruk di kedua-dua jalan berkenaan sehingga perhimpunan selesai pada pukul 3.20 petang.

Sejak 24 Ogos lalu, Israel melakukan keganasan dan pencerobohan terhadap Masjid Al-Aqsa termasuk melepaskan tembakan di dalam rumah ibadat itu serta cuba memisahkan ruang 'ibadat dan masa' antara orang Islam dan Yahudi. - Bernama

Masjid Al Aqsa, Israel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Polis Bantuan Maut Digilis Lori

Artikel Lain